Archive for June, 2006

Pergi Buat Sementara

Wednesday, June 28th, 2006

Akan berhenti sebentar menulis di blog ini untuk memberi penumpuan menghasilkan sebuah novel. Apa yang terhidang setakat ini adalah fragmen-fragmen dari apa yang saya fikirkan rencah-rencah untuk novel yang sebenarnya telah lama melayang berkisar dalam kepala.

Akan kembali bila ia terlaksana…salam.

Kamal

Monday, June 26th, 2006

Kamal

"Pokok Cheri nih dah tak ada buah…," rungut Kamal sambil meninjau-ninjau sambil berselang menyelak-nyelak ranting-ranting lebat berdaun, mencari, sedangkan aku sudah lama menyandar di dahan berhadapannya dan memandang awan-awan yang agak tebal perlahan berlalu. Tidak aku begitu pedulikan rungutan Kamal. Aku tahu, sudah tiada buah lagi atas pokok Cheri ini. Sudah dua hari kami memetik buah-buahnya yang muda dan mengunyah yang masak. Sudah dua hari buah Cheri pokok itu membekalkan kami "peluru" bagi senapang kayu kami – aku tahu, kami mesti cari pokok Cheri yang lain. Pokok ini hanya enak untuk melabuhkan badan, berehat, bersembunyi dari "musuh" dan melihat awan-awan yang agak tebal itu berlalu berlahan. Tapi, Kamal masih mencari. Dia begitu, dia tidak mudah mengalah atau berputus-asa, walaupun kedua poket seluarnya sarat dengan cheri muda. Dia hanya akan berhenti menyelak mencari setelah kesemua ranting dan dahan dan daun diselaknya dan dia benar pasti, tiada lagi buah Cheri atas pokok ini.

Melabuhkan badannya dan menyandar pada dahan berhadapanku, aku sedar, dia selalu di situ dan aku di sini. Itu tempatnya dan ini tempatku. Dia mula memandang keatas, tanpa berkelip dengan kedua tangannya berlipat membantalkan kepalanya. Sebelah kakinya tergantung dan sebelah lagi – kaki kirinya – menongkat pada dahan berdekatan.

"Kau lihat awan tu. Aman saja. Aku impikan begitu…"

Aku hanya mengangguk walaupun aku tahu dia tidak memandangku. Dia begitu, maksudku dia sering berkata begitu setiap kali kami diatas pokok Cheri ini. Jika tidak kerana awan, pasti langit yang biru akan membuatnya berkata demikian. "Aman saja. Aku impikan begitu…," begitu saja dan kami akan hanya menikmati suasana begitu tanpa berkata apa-apa lagi sehingga ada yang mengganggu.

"Aku terpaksa membawa perasaan itu sepanjang hidupku. Perasaan yang semakin ditelan usia semakin menekan, menghimpit dan begitu menyiksakan. Ianya di situ, menagih kematangan dariku. Kematangan yang seakan menolakku ke penghujung sempadan antara realiti dan infiniti…ya, aku memikirkan tentang infiniti itu. Aku mahukan ianya berakhir. Aku rasakan bahawa perasaan itu membesar lebih cepat dari diriku ini. Aku rasakan ianya mahukan diriku – mahu keluar dan menelanku. Ketawaku, hanya selingan. Aku berlakun, dipaksa begitu. Ini semua, apa yang aku paparkan pada kamu semua adalah satu lakunan. Tahukah bagaimananya aku membawa perasaan sebegitu selama…ahhh selagi aku berusia tiga tahun lagi? Tigapuluh lima kini dan aku rasakan bagai diri yang di dalamku ini semakin bersemangat, semakin bertenaga – memakan semangatku sendiri, "mencuri" tenagaku ini. Semakin dilawan dengan cuba menolak atau tidak mengendahkannya, semakin "dia" memulas jiwaku. Aku rasakan bagai tubuhku ini akan meletup, berkecai, bila-bila masa saja, tetapi bukan itu yang dimahukannya. Dia mahu aku merasainya. Menghayati, merana, menyiksa, begitu saja dan setelah itu, selingan sebentar buatku dan diulanginya kembali. Kau tahu apa maksudku?Kau faham? Aku tidak pernah mengenal erti kebahagiaan yang sebenarnya. Mana mungkin, aku disumpah. Kau faham apa yang aku katakan ini? Kau fikir kau ada jalan penyelesaikan pada sumpahan aku ini? Huh, sudahku duga. Mana mungkin kau ada kuncinya, aku sendiri tidak tahu apa yang perlu bagi meleraikan sumpahan aku ini. Kau tahu tentang sumpahan? Kau tahu tentang Adam? Kau tahu tentang Qada dan Qadar? Aku tergolong pada mereka yang malang. Aku disumpah membawa perasaan ini sepanjang hidupku. Ini bahagianku. Ini definasi kebahagiaan yang disogokkan dalam jiwaku ini."

"Apa terjadi? Aku dengar…"

"Tidak ada banyak yang terjadi," dia memintas pertanyaanku. Membara rokok di bibirnya itu dan matanya dikerut sebaik asap yang dilepaskan itu menerkam mukanya. "Aku cuma bosan atas segalanya. Kerja, cara hidupku, maksud aku, aku bosan dengan segala yang di sekeliling aku. Aku ingat ini jalan sebaiknya, sekurangnya itu yang aku percaya," terhenti sebentar, dia mula menggeleng, "Tidak, sekurangnya itu yang mahu aku percaya. Aku jelaskan apa yang tertangguh dan mulakan hidupku yang baru. Sesenang itu. Sampai masanya aku tinggalkan hidup yang sebegini. Aku tidak perlukan ini semua. Kau tak tahu betapa tertekannya aku. Kau tak tahu apa yang aku rasai. Mana mungkin kau tahu? Masalah kau dengan aku berlainan. Hidup kita berlainan. Mana mungkin kau tahu?" Rokoknya itu masih ditepi bibirnya dan dia tidak begitu menghiraukan abuk rokok yang terkumpul itu jatuh diatas pehanya selain dari menepis beberapa kali pehanya. "Kau tak akan faham, samalah seperti aku takan faham masalah kau."

Kerjanya itu mula terbayang di kepalaku, "Aku faham maksud kau, tapi…"

"Mana mungkin kau faham? Kau tak faham."

"Tidak, maksud aku aku faham apa yang kau katakan itu. Cuma, aku nak tahu adakah apa yang terjadi itu benar dan mengapa kau lakukan? Maksud aku, mengapa sampai begitu sekali kau lakukan?" Agak cepat aku katakan kerana aku tidak mahu dia memotong kataku. Tetapi, kali ini dia agak mengambil masa. Rokoknya itu hampir padam kerana baranya itu sudah hampir pada puntung. Namun, dibiarkan saja melekat di bibirnya itu. Matanya hanya pada tasik berhadapan kami. Sesekali berkelip dan menelan air liurnya. Menanti jawapan darinya, dia tetap begitu, "Kamal…"

"Bro, kau tak akan faham kalau aku katakan. Kau tak akan faham!"

"Mana mungkin aku faham jika kau tak nyatakan?"

"Walau sejelas mana aku ceritakan, kau tak akan faham. Ianya terlalu rumit. Mana mungkin kau faham. Kau tahu, aku sendiri tidak faham. Aku cuma lakukan apa yang difikiranku waktu itu. Dia di situ, malang. Semudah itu. Aku tak tahan lagi dengan hidupku yang sebegini. Statik, tidak kemana. Dia wajar menerimanya. Atas apa yang dilakukan selama ini terhadap aku, wajar!" Mengertap bibirnya, matanya masih di tasik itu. "Kau ingat tentang masa kita di atas pokok Cheri dahulu?" Dia memandang padaku. Rokok itu sudah mati, tetapi masih di bibirnya.

Mengangguk. Kami banyak menghabiskan masa di atas pokok Cheri itu. Memakan buahnya yang masak berwarna kuning dan merah dan memetik buahnya yang hijau untuk dijadikan peluru jika tiba musim bermain senapang kayu. Kadangkala, kami cuma duduk di atasnya, melihat awan yang berlalu atau langit yang biru itu, tanpa banyak berkata kecuali… "Kau impikan suasana aman itu?"

"Yup. Aku impikan sebegitu tetapi aku belum alaminya. Impianku itu hanya hadir dalam mimpiku. Itupun sekali-kala saja. Tidurku tiada mimpi, dan kalau adapun ianya lebih banyak merupakan igauan dari suasana aman itu. Kau tahu, aku pernah bermimpi aku di atas sana," mendongak, diam seketika. Mungkin memerhati awan di langit yang agak cerah. "Di awan dan langit, terapung dan terasa begitu aman sekali. Aku tahu, aku sedang bermimpi. Aku tidak mahu bangun. Aku sedaya upaya berusaha untuk terus terapung, tetapi semakin lama semakin dekat aku ke bumi. Mimpi sebegitu jarang hadir. Jarang sekali. Apa yang aku impikan itu adalah hanya satu mimpi. Tidak mungkin berlaku, sekurangnya pada aku."

"Mengapa tidak?"

"Sudah aku katakan, kau tak akan faham Bro. Ianya terlalu rumit. Aku sendiri tidak faham."

"Tapi sekurangnya kau harus berusaha. Kenal apa yang menghimpit dan berusaha atasinya."

Tersenyum memandangku, dia menyalakan sebatang lagi rokok. Menarik agak dalam dan terus dibiarkan di bibirnya.

"Kau merokok terlalu banyak." Itu saja yang keluar dari mulutku. Dia dari tadi tidak henti menghisap rokok. Lepas sebatang, sebatang dinyalakan dan kebanyakkan waktu, dia hanya membiarkan rokok itu di bibirnya. Entah berapa kali abuk itu jatuh di atas peha dan bajunya, tetapi ianya tidak begitu mengganggunya. Dia cuma menepis-nepis abuk itu.

"Rokok ini saja yang meringankan sikit apa yang di kepala aku ini." Jawabnya ringkas.

"Tetapi tidak menyelesaikan."

"Sekurangnya meringankan."

"Sampai bila? Lambat-laun kau harus berdepan dan menyelesaikannya."

"Yup. Tapi, kini bukan masanya lagi. Tidak, sekurangnya aku sudah selesaikan si gemuk itu," tersenyum.

"Tapi itu bukan yang sebenarnya mengganggu kau."

"Ya, tapi sekurangnya aku puas."

"Puas? Sampai bila?"

"Peduli apa. Sekurangnya aku puas buat masa ini."

"Bro, kau tahukan apa yang menghimpit itu?"

"Ya."

"Habis kenapa kau…"

"Kau tak faham. Berapa kali harus aku kata? Kau tak faham. Kau tak akan faham."

"Cubalah beritahu aku. Mungkin aku faham. Mana kau tahu aku tak faham?"

"Jahanam! Kau reti tak apa yang aku cakap ni?" Dia menghentak kakinya pada bonet.

Aku tersentak dan memalingkan mukaku padanya. Dia memandangku dengan pandangan yang tajam. Matanya merah dan berair, tapi rokok itu masih di bibirnya.

"Suara itu…," ringkas dan agak menurun suaranya. Fikiranku diterjah oleh pelbagai ingatan. Aku ingat pada "Suara itu". Maksudku aku ingat dia pernah menyatakan padaku dahulu. Suara bapanya itu saja yang dia ingat tentang bapanya. Tetapi mengapa pula ia sebegitu membinasakan? Aku mula mengandaikan dengan pelbagai andaian. Tidak henti aku bertanya, pada diriku sendiri: Apa sebenarnya yang ada pada suara itu sehingga abangku sebegini?

"Bro, ini rahsia keluarga aku. Apa yang aku akan katakan pada kau, berakhir di sini. Jangan diceritakan pada sesiapa dan jangan difikirkan. Boleh kau berjanji?"

Aku hanya diam. Dia agak merenung tajam padaku. Aku tidak tahu apa yang aku harus lakukan. Aku tahu, aku tidak mampu berjanji padanya dan aku tidak mampu menahan renungannya itu. Melarikan pandanganku, aku tertunduk dan terus mendiamkan diri. Tanganku memeluk kedua kakiku yang dilipat sehingga daguku mengenai kepala lututku. Aku hanya diam. Aku tahu, aku tidak mampu berjanji, tetapi aku mahu dia memberitahuku.

"Bro, kau tak mampu berjanji? Expected. Aku kenal sangat kau. Itu bezanya kau dengan aku."

"Bukan itu…"

"Tidak, aku faham. Kita berlainan. Cara kau bertentangan dengan aku. Sebab itu kau adikku dan aku abangmu. Aku faham Bro. Aku faham."

"Jadi, kau tak akan memberitahu aku?"

"Tidak, aku akan beritahu. Mungkin kau ada kunci pada keamanan yang aku impikan. Mungkin kau boleh melihat lebih jelas dari luar. Tapi, aku tidak mengharap. Aku cuma beritahu kerana kau adikku." Katanya itu seakan mematikan perbualan. Dia memandang ke hadapan, melihat air yang beralun-alun kecil ditiup angin. Dirinya yang disandarkan pada cermin kereta dan kaki kirinya yang dilunjur kehadapan, kaki kanannya yang ditongkat itu mengingatkan aku akan masa kami di atas pokok Cheri. Aku sedar, kini lebih limabelas tahun telah berlalu, tetapi kami masih mampu begitu; bersama, melihat dan merasai suasana alam yang aman. Bezanya, dulu aku hanya tahu dia impikan suasana yang sebegitu, tetapi kini aku semakin hampir untuk mengetahui mengapa dia impikan suasana sebegitu. Agak lama kami berdiam diri. Aku mula merasa resah, bertanya samada dia akan meneruskan niatnya itu.

"Kau tahu bila aku kehilangan bapaku?"

Aku menggeleng.

Dia tidak memandangku, namun dia meneruskan, "Masa aku berumur tiga tahun. Mungkin lebih sikit." Mengangkat tangan kirinya sambil mula mengusap-usap dahinya. "Kau tahu bagaimana dia meninggal?"

Aku menggeleng lagi.

"Aku bunuhnya."

Terasa diriku seakan diterkam sesuatu. Sesuatu yang kini menyelubungiku. Aku terasa seakan ada satu lapisan, entah apa menyelubungi pada diriku ini. Bulu roma di seluruh badanku terasa timbul. Aku terpaku dengan mulut separuh terbuka. Aku terkejut. Mungkin ini rasanya bila berhadapan dengan hantu, mungkin. Mahu aku bertanya, maksudku, aku tahu apa yang mahu aku tanya, "Bagaimana?" Namun aku tidak mampu bersuara walaupun mulut dan lidahku bergerak-gerak mengeluarkan bunyi yang entah apa, "Bbb aaa ge…"

"Aku menembaknya," dengan nada yang agak sederhana, agak selamba menjawab seakan membaca pertanyaan hatiku itu. Aku yang agak kaku terkejut dapat melihat airmatanya mula berlinangan. Semakin lama semakin berair matanya dan semakin kerap ianya menitis. "Kau faham tak, aku membunuh bapaku semasa aku berumur tiga tahun. Bapaku mati disebabkan oleh aku. Aku menembaknya." Semakin kerap malah kini seakan airmata itu mengalir berterusan, tetapi dia tidak teresak. "Suaranya itu…tidak henti menghantui aku. Kau tahu tak, aku tidak dapat mengingati wajah bapaku walaupun beribu kali aku melihat gambarnya." Dia mengensut sedikit menaikkan punggungnya dan menarik keluar beg duitnya. Membelek-belek dengan jarinya, dia mengeluarkan sekeping potret dan menghulurkan padaku. "Ini bapaku."

Aku masih mengamati gambar itu bila Kamal bersuara, "Setiap kali aku keseorangan, dia akan datang. Bukan wajahnya, tetapi suaranya itu. Bukan memanggil aku tetapi jeritan - bingit. Jeritan yang mendesingkan. Desingan yang menggoncang kepalaku. Kau faham apa yang aku katakan ini? Mana mungkin kau faham." Perlahan dia menggeleng. Airmatanya masih tidak henti mengalir. Jelas pipinya basah dan baju kemeja putih kerjanya itu kuyup. "Aku tidak ingat apa sebenarnya yang berlaku. Tetapi, aku tahu aku telah menembak bapaku. Dia mati kerana aku menembaknya, itu kata mereka. Tapi, dia tidak mati, sekurangnya pada aku. Mana mungkin dia mati? Jeritannya itu memekakkan dan desingan itu menggoncang isi kepalaku. Dia masih hidup. Hidup dalam kepalaku ini! Kau faham tak maksud aku ini? Kau faham tak apa yang aku katakan ini? " Katanya sambil merenung padaku.

"Aku faham masalahku bro. Cuma yang tak aku faham…mengapa aku?"

*Dewan Sastera - antara 2001-2002

Sekadar Peringatan Diri

Saturday, June 24th, 2006

Bagi aku, seorang penulis, jika pembacanya merasa puas, itu satu kegagalan. Dan, jika kepuasan itu hadir pula dalam jiwa penulis, itu satu keluluhan.

SSN 5

Saturday, June 24th, 2006

"Dude, kau fikir ini akan bertahan? Maksudku syurga ini…"

Tergamam. Aku pernah memikirkan tentangnya. Maksudku, tentang syurga itu. Dan setelah diri ini dimakan oleh neraka, fikiranku tentang syurga itu seakan dipadam… sehingga kini. Kamal, terlalu karib denganku. Dia tua setahun dariku. Dia lebih seperti seorang abang yang tidak pernah aku ada.

"Kenapa kau diam?"

"Aku sedang berfikir. Bukankah kau suruh aku begitu?"

Berfikir?"

"Ya."

"Tapi aku lebih mengharapkan kepada satu jawapan yang spontan dari kau. Aku perlu keikhlasan. Spontan itu keiklasan. Jika kau mula berfikir, banyak faktor nanti yang difikirkan sama."

"Maksud kau?"

"Maksud aku, mungkin kau berkompromi kerana tak mahu menyakitkan hati aku atau mungkin saja kau mahu aku menyenangi dirimu dengan jawapan yang indah."

"Kau fikir aku begitu?"

"Tidak…"

"Dah tu?"

"Aku mahu kau ikhlas."

"Siapa kata aku tak ikhlas?"

"Bukan tu maksudku…"

"Dah tu?"

Dia menggeleng, senyum. "Jadi apa pandangan atau rasa kau tentang ini semua? Adakah ia akan kekal?"

"Maksud kau, perkahwinan kau ini?"

"Ya."

"Que sera sera…"

"Itu peradaban barat. Mereka mahu penyelesaian yang mudah. Tidak mahu berfikir panjang dan tentunya dengan aku kau tidak boleh begitu."

"Bro, tiada satu pun kekal…"

"Dude, walaupun aku jahil, itu aku tahu."

"Itu jawapan aku…tiada satu pun kekal kecuali…"

"Ya, aku tahu. Kita ini tidak kekal kecuali Pencipta kita. Mengapa kau mengelak dari menjawab pertanyaanku?"

"Aku mengelak? Bukankah itu jawapanku?"

"Kau terlalu ke hadapan. Aku hanya tanya samada syurgaku ini akan kekal hingga akhir hayatku. Itupun susah kau nak faham?"

Aku senyum, menggeleng.

"Mengapa?"

"Bro, kau tahukan apa yang pernah aku lalui. Kau bertanya kepada seseorang yang tidak begitu positif terhadap institusi kekeluargaan waktu ini."

"Jadi, kau tidak fikir ini akan bertahan?"

"Ada aku berkata begitu?"

"Jadi?"

"Jadi?"

"Maksud aku apa fikiran atau rasa kau?"

"Telah aku katakan tadi. Aku seorang yang tidak begitu positif apabila dihadapkan dengan institusi kekeluargaan kini. Keyakinanku rendah. Fikiranku negatif. Aku tidak layak…tidak, aku tidak mampu memberi pandangan atau rasa aku terhadap perkara ini."

"Kau tidak membantu langsung…"

"Hello…bukankah kau mahukan jawapan yang ikhlas? Mengapa pula bila aku ikhlas, kau marah? Perlukah aku bernyanyi agar jawapan itu menyenangkan hatimu?"

"Maksud aku, jawapan ikhlas kau itu tidak membantuku langsung."

"Dah tu nak buat macam mana lagi?"

Dia senyum sambil menggeleng. Aku pun begitu juga.

"Hidup ini sememangnya tidak adil…"

"Ha…baru kau perasan bro?" Aku ketawa.

Diapun begitu.

"Aku perlu cari seseorang yang ada jawapan kepada persoalan aku ini."

"Bro, kau pernah bertanya kepada diri kau sendiri?"

Matanya terbeliak.

Aku senyum…dan menggeleng sikit. Dan, dari tadi fikiranku tidak dapat lari dari memikirkan tentang syurga itu. Jauh dalam diri, aku sedar, aku mengimpikannya semula dan aku sedar juga, aku seperti Adam…dan kehadiran Hawa pasti menggegarkan jiwa. Dan jiwa yang tergegar pastinya mengundang bahaya.

Tapi…aneh…rasaku seperti sedang tergelincir dan aku seakan tidak mahu menahan…aku mahukannya semula!

Aku menggeleng sedikit. Aku senyum sedikit. "Kau mengulanginya semula," bisik hatiku. "Kau mahukan sedikit syurga yang pastinya mengundang neraka…"

Metamorfosis 2 - Andai Jiwaku Kau Selami…

Friday, June 23rd, 2006

Andai dia tahu mengapa aku begitu, pastinya tidak begini jadinya. Namun manusia namanya itu, pasti tidak lari dari mencurigai. Apa yang tenang dipermukaan, rupanya ada yang sedang bergelora disebaliknya. Aku cuma mampu mengimpikan…

"Andai jiwaku ini kau selami, pasti ketenangan di permukaan itu adalah kerana dasarnya juga tenang. Andai jiwaku ini kau selami, pastinya tidak begini jadinya. Pastinya kau menutup matamu, merasai kehangatan nafas menjana jantung yang semakin pantas mengalirkan darah keseluruh pelusuk tubuhmu. Liang-liang roma berontak. Mulutmu terbuka melepaskan hawa. Tapak tanganmu mula berpeluh. Tanganmu mengapai dan mencapai. Pernafasanmu bercelaru. Kau gelojoh menagih udara. Kau mau menjerit. Kau mahu mencapainya. Kau mahu disentuh berulang. Kau mahukan lebih, kau mahu menjerit…kau mau menjerit…fikiranmu sesat entah ke mana. Jiwamu melayang-layang seperti ditiup angin…kau tak mahu ia berakhir…kau tak mahu ia berakhir…

…itulah sentuhan keikhlasanku, andai jiwaku ini kau selami…andai jiwaku ini kau selami…"

Namun manusia namanya itu, pasti tidak lari dari mencurigai…dan dia itu tersenyum puas…esok pastinya berulang.

Entah mengapa…

Wednesday, June 21st, 2006

Akhir ini aku semakin kerap membaca karya penulis-penulis dari negara matahari terbit. Haruki Murakami dengan "Kafka On The Shore" mengikat lantas "Dance, Dance, Dance", "After The Quake" dan "Norwegian Wood" menyusuri.

Aku sepatutnya meneruskan dengan karya-karyanya yang lain kerana buku-bukunya hampir kesemuanya telah dibeli, namun entah bagaimana, bagai berjalan khusyuk berfikir tentang sesuatu, aku tersepak batu - dalam perkara ini terjumpa Ryu Murakami - dan tersungkur.

"69" sepatutnya hanya belekan biasa apabila aku bersantai di Kinokuniya. Namun para demi para aku membaca seakan tidak mampu berhenti kecuali…jika memilikinya. Dalam aku begitu dibuai "69" - yang dibaca setiap malam sebelum tidur - aku ditemukan dengan "In The Miso Soup" di Borders The Curve.

Bermulalah perjalanan, Kensuke Yazaki sebelum tidur dan Kenji - dengan Tokyo Pink Guide - masa santai di kafe. Aku memang begitu - membaca dua mungkin tiga buku sekaligus. Dan semestinya dua tidak mencukupi kerana semasa ke The Curve tadi, aku terjumpa pula Hitomi Kanehara - " Snakes & Earring"…ini kisah pemikiran seorang gadis…bersedialah dengan kisah yang mungkin saja memeranjatkan…

Beberapa tahun dahulu aku pernah terhibur dengan "Sputnik Sweetheart" - Haruki Murakami. Bagai kitaran, kini Ken, Kenji dan Lui dalam kepalaku…

Amaran: Jika mampu membuka fikiran, bacalah.

Metamorfosis 1 - Jeritan Hati

Wednesday, June 21st, 2006

Aku metamorfosis

dengan sifat-sifatNya

melihat

mendengar

terhidu

merasa

berfikir

dan bersuara.

Berdikit aku metamorfosis

dari seorang insan

kepada seekor haiwan,

yang berfikir

mengikut nafsu

namun,

sesekali teringat

lantas mengimpikan

agar aku metamorfosis

menjadi seorang insan

semula…

SSN 4

Monday, June 19th, 2006

Aku mengalami satu mimpi yang cukup indah tadi…

Dunia sedang menghadapi satu penyakit – flu - yang menjanjikan sesuatu yang tidak pernah terfikir sebelum ini. Mungkin pernah, tetapi tidak begitu diambil perhatian sehingga kini. Dan mungkin juga tidak diendahkan sangat walau terfikir mengenainya. Aku teringat burung Hudhud. Kita terajar oleh burung rupanya!

Apakah kau ini benar? Apakah apa yang aku dengar ini benar lahir dari mulut kau? Aku mengalami satu mimpi yang cukup indah tadi dan kini aku dipaksa mendengar sesuatu yang pernah aku dengar, tetapi tidak pernah aku berfikir sangat mengenainya…

Bila AIDS melanda, atau akhirnya manusia menjumpai penyakit yang mungkin telah lama ada tetapi tidak tahu menahu mengenainya, lantas menamakannya, kita tersentak. Berjuta terkorban. Kita tersentak. Dan berjuta lagi terkorban. "Oh," kata kita, "ia tidak mungkin berlaku ke atas aku." Benar, ia tidak akan berlaku ke atas kita jika kita tidak mengamalkan seks rambang – atau seks tidak terkawal? – atau penggunaan jarum untuk merasai – atau mencapai – kenikmatan dadah secara rambang – atau tidak terkawal – atau kita tidak ditimpa nasib yang buruk diberi darah yang telah dicemari – atau tidak dikawal – atau apa ya? Aku terfikir akan Nabi Lut. Manusia mudah lupa akan sejarah. Mereka tidak mahu belajar. Mereka hanya mahu mengajar. Kau faham maksud aku ini?

Lihat, tadi, mungkin semalam, aku mengalami satu mimpi yang indah. Aku pasti kau faham. Namun kau perlu menceritakan atau meluahkan perkara sebegini kepadaku? Haruskah kau dengan luahan kau ini menyekat aku dari merasai cebisan-cebisan mimpiku?

Apa itu demokrasi? Demokrasi adalah pengawalan pemahaman kita mengenai kebebasan…mengikut tafsiran dan terjemahan manusia yang sedang mendominasi dunia. Diktator, perlu ditumbangkan kerana terlalu lama berkuasa walaupun dipilih rakyat. Pemimpin perlu digulingkan kerana membawa pemahaman yang tidak senada. Sekat itu dan ini. Serang dan menguasai itu dan ini. Mendominasi dan menguasai. "Aku berkuasa, kau ikut caraku!" Kebebasan bersuara…konon…

Ah, aku mula mengerti kini, secebis syurga dibalas neraka yang tidak nampak sempadannya…

Dan, pernahkah kita mengira bencana alam yang berlaku akhir-akhir ini? Pernah kita mengira mengenai jenayah-jenayah yang berleluasa kini? Bapa makan anak. Anak makan bapa Pemimpin makan rakyat. Pemimpin makan pemimpin. Rakyat makan rakyat. Yang berkuasa hanya mahu menguasai, bukan kerana tanggungjawab, tetapi kerana kemewahan. Lelaki dengan lelaki, perempuan dengan perempuan. Kau kira tepuk sebelah tangan berbunyi? Eh, kau faham maksud aku ini?

Ya, ya, aku faham – walaupun mungkin tidak sefaham kau, tetapi aku faham. Secebis syurga menjanjikan neraka yang mungkin tiada sempadannya. Aku faham.

Dunia ini tidak adil…

Tidak, pada aku dunia ini sesuatu yang neutral. Garisan pemisahan.

Bagaimana?

Kita khalifah. Sebelah kanan syurga, kiri neraka. Mana pilihan kita?

Tentu saja syurga…

Tidak, itu satu kesilapan.

Neraka?

Tidak juga.

Ah, kini giliran kau pula mengganggu pemikiranku ini…

Pada aku, dunia ini adil. Dunia ini satu garisan di mana manusia diuji. Ujiannya mudah…

Kita perlu berjalan lurus?

A’ha! Persoalannya, mengapa kita tidak boleh lurus? Perlukah kita merasai syurga dan neraka di dunia ini sedangkan ia sesuatu yang bukan di sini? Ia dijanjikan selepas ini. Bukan di sini, tetapi selepas ini. Tetapi, kita tidak mahu melakukan itu. Kita perlu merasai apa yang kita namakan – atau rasakan - syurga dan neraka itu.

Mengapa?

Kau lihat sekeliling, apa yang kau nampak?

Material?

Benar, dan kita semakin dibuai, terbuai…pakaian ada pelbagai dan bertaraf dengan jenamanya. Begitu dengan kereta, rumah, jam, kasut, wang dan hampir segalanya yang kita lakukan. Kita makan makanan yang kononnya bertaraf lima bintang…kita rasai syurga – rasa kita - kita melangkah syurga, sebentar. Kita melakukan dosa-dosa untuk merasai syurga itu – rasa kita – dan kita melangkah neraka, sebentar juga. Kita tidak pernah meniti garisan itu dengan lurus. Kita tidak pernah berjalan dengan lurus. Kita bagai orang yang mabuk – mungkin mabuk mengejar kuasa dan material. Kita seakan katak, melompat ke kanan, melompat ke kiri dan akhirnya tidak sedar akan kehadiran garisan itu. Kita lupa mengapa kita di sini. Kita lupa segala yang asas. Kita lupa segalanya. Kita perlu adakan syurga dan neraka kita sendiri. Di sini, kini. Kau faham?

Mungkin…

Tadi kau juga menyatakan tentang flu, Aids, demokrasi, bencana alam, korupsi, gila kuasa, makan-memakan, seks rambang, dan kau tidak pasti?

Perlu adakah kepastian? Aku cuma menyatakan apa yang mengganggu diriku ini. Aku memikirkan tentang dunia yang semakin mendekati maut…kiamat! Tetapi, kau menyatakan tentang garisan. Garisan neutral. Dunia ini hanyalah satu garisan neutral. Dan, kita sebagai khalifah menentukan sebelah mana kita berjalan. Kanan atau kiri. Di kanan syurga. Di kiri neraka. Kita sebagai Khalifah lupa, kita tidak perlu ke kanan atau ke kiri. Kita cuma perlu berjalan lurus atas garisan itu, sepertimana kita berjalan di atas Siratul Mustaqim kelak…atau…ah, aku faham. Tetapi, aku tidak sebegitu jauh berfikir. Aku cuma memikirkan tentang betapa dekatnya kita kini dengan kiamat. Kau menyusuri terlalu jalan yang lain dari apa yang aku maksudkan.

Oh, maafkan aku. Mimpi aku terlalu indah tadi, atau semalam. Kau hadir dan memusnahkan rasa-rasa indah itu. Aku rasa seperti syurga, tetapi syurga itu tidak pernah aku temui, apalagi rasai. Ia terlalu indah dan aku rasa ia secebis syurga…secebis rasa syurga walaupun ia sesuatu yang tidak terjangkau atau terasa oleh kita selagi dunia ini belum kiamat…

Sama seperti neraka. Ia sesuatu yang tidak termampu kita bayangkan atau rasakan…

Kau melakukannya lagi!

Apa?

Memusnahkan apa yang indah dengan sesuatu yang buruk! Kau mengingatkan aku tentang kepahitan sebelum aku puas menikmati kemanisan…

Tapi katamu syurga dan neraka bukan di sini. Bukan kini. Bukankah apa yang kau rasakan itu hanya sesuatu yang terdapat di sini, kini dan bukannya sesuatu yang di sana, kemudian? Tentu saja ia bukan syurga. Salahkan aku?Tidak. Engkau tidak bersalah. Hanya aku yang mahu mempercayainya. Sifat, aku perlu mencari dan merasainya dan sepertimana kau dan aku tahu, ia sesuatu yang mustahil di waktu ini dan di sini, jadi jalan mudah, aku menganggapnya begitu. Tidak, kau tidak bersalah. Mana mungkin kau bersalah dalam perkara ini. Engkau sebahagian dariku. Kau menjawab persoalanku, aku menjawab persoalanmu. Kau tidak bersalah. Kau di dalam sana, aku di luar sini. Kau batinku dan tidak salah kita bertemu di titik neutral ini…

Setiap Kali…

Monday, June 19th, 2006

Setiap kali jiwa kita tertemu

kau seperti disentap pergi

bagaikan tersumpah luluh

sinar itu terlalu asing,

tak mungkin menusuk jiwa;

apalagi menerangi kalbu

jauh sekali merasai keindahan

yang mampu mengukir senyuman.

Setiap kali jiwa kita tersentuhan

aku merasai kedinginan itu

namun kau tersentap pergi

sebelum sempat aku menyelimuti

jiwa dingin membeku hati

yang terlalu percaya tentang

kehangatan itu berada di puncak

dan terlalu jauh untuk dicapai.

Wahai jiwa yang dingin,

lihatlah sang suria

yang menerangi alam

bukalah sedikit ruang hatimu

buat sinar yang sentiasa setia ada

buat jiwa-jiwa yang mahu percaya -

itu yang mahu kubisikkan padamu,

setiap kali…

SSN 3

Thursday, June 15th, 2006

Dia membuka matanya. Cahaya itu terlalu menyucuk. Setiap kerdipannya berdikit mencorak permandangan. Kepulan awan menggelonsori langit yang biru. Sehelai daun kering gemalai yang meniti rentak angin yang lemah menarik perhatiannya sehingga latarnya dimakan perlahan sebuah bukit, mungkin gunung yang tandus. Dia mencari semula awan dan langit, masih di situ dan perlahan kembali semula ke bukit, mungkin gunung, yang tandus itu dan ini berlaku beberapa kali sehingga dia sedar dia sebenarnya terbaring di atas sesuatu, mungkin batu-batu kecil yang kini mula menyengat bahagian belakang tubuhnya.

“Di mana aku?”

Dia menggerakkan sedikit tubuhnya. Kedua tangannya mencengkam bumi dan perlahan menongkat dirinya bangun. Dia memandang sekeliling. Tandus. Tangan kanannya yang mencengkam bumi mula teraba mencari atau cuba merasai sesuatu. Tangan kirinya mula menggenggam batu-batu yang kecil. Pandangannya beralih kepada tangan kanannya. Batu? Waktu ini matanya liar seakan mencari sesuatu. Di depannya tembok bukit, mungkin gunung yang tandus. Di kiri dan kanannya alur batu-batu kerikil. Menoleh, di belakangnya semak, mungkin hutan?

“Di mana aku?”

Dia mahu bangun berdiri, tetapi fikirannya bercelaru. Matanya masih liar. Bukit, mungkin gunung, kerikil beralur dan semak, mungkin hutan terlalu asing baginya. Dia cuba mencari sesuatu, lantas mendongak mencari kepastian. Awan dan langit masih di situ. Awan dan langit saja yang tidak asing baginya. Perlahan dia bangun hingga kedua kakinya bertapak atas kerikil.

“Ini terlalu asing bagiku,” mendongak, “kecuali langit dan awan itu.”

Memandang sekeliling, dia cuba mencari arah. Akhirnya dia sedar, dia hanya ada dua pilihan, kiri atau kanan alur kerikil itu. Dia menoleh kiri dan kanan namun tidak dinampaknya apa-apa tanda yang memungkinkannya memilih. Cuma ada dua pilihan dan dia tidak tahu mana satu yang harus dipilih. Kiri atau kanan? Kanan atau kiri? Dan dalam dia begitu, tiba-tiba dia terdengar kicauan burung dan dalam dia tercari-cari arah manakah datangnya kicauan itu, guruh berdentum. Awan hitam, langit kelam dan dia terbau sesuatu yang begitu menyucuk hidungnya. Busuk!

“Apa ini?”

Dia berpusing-pusing memandang sekeliling sambil kedua tangannya menutup hidung. Kicauan itu semakin kuat dan mendesingkan. Dia menutup kedua telinganya, tetapi bau itu terlalu menyucuk. Dia menutup hidungnya, tetapi bunyi itu juga terlalu menyucuk. Dan dalam kekeliruan itu dia terjatuh…

“Kamalllll….Kamallll…”