Archive for June, 2006

Pulanglah…

Monday, June 12th, 2006

Ingat cerita bulan…

tersenyum pada malam itu,

walau terpisah beribu batu,

jiwa yang merindui,

reda kerananya.

Pulanglah…

alam berbahasa,

membicara makna,

janganlah kita terpisah lagi,

dan membiarkan bulan berbicara,

untuk jiwa-jiwa yang merindui.

Pulanglah…

SSN - 2

Saturday, June 10th, 2006

Hanya beberapa hari yang lalu, Nita memberitahunya,

“Kau perlu lebih terbuka…”

Fikirannya bercelaru, dia keliru. Dia tidak fikir dirinya berpandangan sempit. Namun, bukan itu yang cuba Nita sampaikan, agaknya. Dia perlu tahu. Dia perlu bertanya!

“Aku tidak terbuka?”

Telefon Nita berbunyi dan perbualan mereka berakhir. Nita terpaksa pergi.

“Sarah demam!”

Dia keliru. Dia marah. Dirinya dikatakan tidak terbuka. Jiwa yang kacau melahirkan pelbagai nada suara. Mungkin bukan itu maksud Nita. Itu yang mahu dia percaya, tetapi nada-nada suara lain lebih sumbang. Kerongkongnya terasa tersekat. Hatinya terasa pedih. Dia menggeleng.

“Aku tidak terbuka?”

Dan semenjak itu, dia cuba mencari apa yang benar-benar dimaksudkan Nita itu. Nita pula seperti sengaja menghilangkan diri. Panggilan dan smsnya tidak terjawab. Dirinya semakin tertekan.

“Sial…kau biarkan aku terkial…”

Dia sedar dia sedang duduk di meja kafe yang sama sewaktu bersama Nita beberapa hari yang lalu. Kebetulan? Mungkin. Mungkin juga itu satu tanda bahawa apa yang diperbincangkan tempoh hari belum ada penjelasan dan tuntutan penjelasan itu membawanya kembali ke meja di kafe ini.

“Mengapa aku ke mari?”

Suasana kafe agak santai walaupun setiap meja dipenuhi. Dirinya percaya, walau apapun sebab, kebetulan atau tidak, kehadirannya di meja yang sama itu memaksa dia mencari maksud Nita. Dengan tidak semena, dia tersedar, meja-meja sekeliling kafe penghuninya berpasangan atau berkumpulan. Dia rasa dirinya tersisih. Suasana santai sebegitu dan dia keseorangan.

“Ah, berapa kali harus aku lalui perasaan sebegini?”

Menutup mata, dia cuba memadamkan rasanya itu. Namun tawa riang kumpulan di sebelahnya dan celoteh anak-anak kecil di belakangnya tidak memungkinkan rasa itu pergi.

“Mereka berhak begitu…”

Memang sesuatu yang lucu bila kereta import diisytiharkan bernilai RM8,000. Lebih lucu lagi bila pihak yang bertanggungjawab tidak mengesyaki apa-apa dan membiarkan saja. Bila dipersoal, keadaan kecoh. Namun kekecohan itu seperti burung-burung gagak yang sibuk di waktu senja. Kini perkara itu sepi. Kerajaan ditipu. Bukankah itu satu perbuatan khianat? Mengapa sepi sehingga kini di hadapannya ada yang ketawa riang mempersendakan integriti kerajaan?

“Alangkah indah celotehan itu…”

Dengan kepelatan dan kepetahan, seorang menyatakan Barbie Princess Ballerinanya lebih cantik namun dibantah sipemunya Disney Princess Cinderella. Membuka matanya, dia tersenyum…mereka berdua memakai cermin mata hitam ala 60’an.

“Memang aku perlu lebih terbuka…”

Dia mula memahami maksud Nita. Dia mula memikirkan tentang dirinya. Dia menggeleng. Dia rasa kesunyian.

“Aku perlu mengisi kesunyian ini, tetapi…”

Setiap apa yang terjalin pasti akan mati. Selepas isterinya pergi, dia seakan disumpah. Apa yang terjalin, akhirnya akan mati. Anehnya, dia yang mematikannya. Bukan keadaan, bukan juga insan yang terjalin perhubungan itu. Dia! Dia yang mematikannya! Dia disumpah! Atau…mungkin saja dia tidak terbuka…

“Hey, apa kau buat di sini?”

Nita! Dia senyum, “Menanti kaulah.”

“Menanti aku?” sambil menarik kerusi, duduk sambil menolak-nolak merapikan rambutnya, “Kita berjanjikah untuk bertemu hari ini? Aku tak ingat…”

“Tidak. Kebetulan saja aku lalu di kawasan ini.”

“Oh…,” sedar pelayan berada disebelahnya, “Twister please.”

“Twister? Apa jadi dengan diet kau?”

Dia ketawa, “Kalau kau tahu apa yang aku lalui, kau tentu setuju bahawa aku berhak untuk memanjakan diriku kali ini.”

“Wah, mesti sesuatu yang besar hingga kau sanggup menolak ketepi amalan kau itu.”

“Tentu saja. Hey, perbualan kita hari itu…”

“Aku faham maksud kau,” Kamal memotong.. “Aku perlu membuka minda dan diriku ini. Aku perlu untuk tidak mematikan sesuatu itu.”

“Oh, aku risau kau salah anggap.”

“Ya, aku terseksa selama dua hari sehingga mereka memberitahu.”

“Mereka? Siapa?”

“Sekeliling kita ini, terutama budak-budak depan aku ini.”

Nita menoleh dan terus ketawa, “Comelnya!!!”

“Benar, wajah secomel dan sesuci itu tentu saja mampu menyelesaikan kekusutan.”

Pantas

Friday, June 9th, 2006

Kau terlalu pantas buatku

dan aku tidak mampu menyaingimu

apalagi memilikimu…

walaupun aku memahamimu.

Aku harapkan pengertian

agar jiwa kita ini tenteram

menjalani masa hadapan…

kerana masa mencemburui.

Kau terlalu pantas buatku,

dan entah mengapa,

aku gembira melihat kau terbang bebas,

walaupun hati ini terluka…

“Bar Zoo” & Bangau Senja Chenang

Friday, June 9th, 2006

“Assalamualaikum…,” kedua tapak tangan mengusap muka sambil mulutnya tidak henti beristighfar. Menadah kedua tapak tangan searas dada, berdoa, menyatakan kesyukuran, meminta belas dan memohon keberkatan. Jiwa benar tenang, benar! Tiada apa difikiran, kecuali merasai menikmati darah mengalir menyusuri urat-urat tubuh - tenang, aman, tapi seakan memberi tenaga dan dia tidak mahu suasana itu berakhir.

            Aku mahu menceritakan tentang diriku. Diri yang jauh berjalan, mencari erti pada kehidupan agar mengenal rasa sebenarnya “puas” itu. Namun semakin lama dan jauh aku berjalan, semakin lupa akan siapa diriku ini. Lorong-lorong yang aku lalui semuanya sama saja. Maksudku hiasannya berlainan, tetapi memberi kesan yang sama – teralek dibuai nikmat dari nafsu yang tidak henti melompat-lompat seakan mahu mencapai sesuatu; kepuasan agaknya. Semakin aku menyusuri, semakin pudar akar-umbi diriku ini. Aku mahu pulang, berkali – beratus, mungkin beribu kali – namun, niatku itu dimakan tarikan kepada dunia yang baru aku hijrah itu. Semuanya indah, aku terbuai dan niatku untuk kembali hanya bagai gigitan nyamuk yang sesekali mengganggu.

            “Evening,” dia melemparkan senyuman dan menarik perhatianku sebaik aku mahu menyesuaikan dudukanku pada kerusi yang empuk itu.

            “Evening,” membalas senyumannya.

            “What can I get you?”

            “Beer.”

            “Jug?”

            “No, a mug.”

            Tempat itu begitu selesa sekali. Semasa menjejak masuk, terasa kedinginan menerkam lembut memeluk tubuhku. Semasa aku menyesuaikan diri duduk-duduk menanti minumanku, kedinginan itu sudah mula menggigit-gigit tulangku. Aku bertanya pada diriku sendiri, mengapa harus mereka menyejukkan tempat itu sebegitu rupa. Namun itu semua terjawab apabila diriku mula dihangatkan oleh minuman yang aku minum itu. Semakin diminum semakin hangat. Semakin hangat, semakin terapung. Keselesaan itu dan rasa diriku terapung enak menenangkan. Terlalu lama aku mencari untuk merasai begitu – rasa hangat terapung dengan tidak banyak perkara hadir dalam kepala. Dan kini, aku menemuinya – enak!

            Ziela, Jenny, Murthy dan Azman menjadi teman baruku. Mereka kerja di situ dan melayanku dengan begitu mesra sekali. Aku senang begitu, terutama Ziela yang tidak jemu berhenti berbual-bual kosong denganku dalam dia sibuk ke hulu-hilir mengambil pesanan dan menghantar apa yang dipesan. Bual yang kosong itu semakin lama semakin “intim”. Diriku yang semakin lama semakin dipengaruhi alkohol membuka pintu pagar pada batasan yang tidak pernah aku impikan selama ini. Aku menjadi semakin lantang – semakin celupar sebenarnya – dan menyuarakan apa saja yang aku rasai waktu itu. Dan Ziela bagai api, membakar diriku yang semakin hangat itu. Alkohol dan perempuan…aku baru tahu, ianya satu kombinasi yang menarik – tidak, ianya menggegarkan!

            “Satu lagi bang?”

            “Cukuplah. Nanti tumbang pula.”

            “Tak apa. Abang tumbang, saya papah abang balik.”

            “Papah? Balik? Bolehkah Ziela papah abang? Dan…balik ke mana?”

            “Boleh. Ziela nampak saja begini, tapi mampu papah abang. Lagipun rumah Ziela dekat saja.”

            

            Seperkara melunjur ke seperkara lain. Usik-usikan begitu bagai minyak yang dijirus-jirus ke api yang sememangnya sudah marak. Apa saja boleh berlaku. Apalagi datangnya dari jiwa yang sedang dibakar alkohol. Jiwanya terapung. Sesekali jejak tanah, tetapi tidak mahu terus begitu lantas sengaja melompat kembali. Rasa sebegitu menyenangkan – seronok – dan usikan-usikan itu boleh saja direalitikan kerana itu sebenarnya kemahuan. Aku yang semakin di awangan dan dia - rasanya - senang aku begitu. Malam itu aku tidak balik ke rumahku. Ziela menjadi tuan rumah yang sempurna. Semua kemahuanku dipenuhi, malah dia memberikan lebih dari yang aku impikan – enak!

            Paginya – lewat – aku terjaga. Memandang siling yang terukir bunga. Aku mula berfikir, mencari mahu tahu di manakah diriku ini. Memandang sekeliling, ianya bukan bilikku atau bilik-bilik yang aku kenali. Aku cuba bangun, tetapi melupakan hasratku itu sebaik saja terasa satu tusukan tajam di kepalaku. Rasanya aku kenal pada tusukan itu…dulu semasa aku muda-muda dahulu, selalu aku rasa begitu bila bangun dari tidur. Telah lama ia menghilang. Kini menjelma kembali. Semuanya gara-gara aku yang gatal sangat menjemputnya semula. Enak-enak rasanya dahulu, tidak mahu bangun kerana sakit-sakit rasanya kini. Aku perlu mandi. Aku perlu air membasahi kepalaku yang masak terbakar semalam ataupun awal pagi tadi semasa aku di “Bar Zoo”. Aku perlu kopi tidak bergula selepas mandi untuk mententeramkan fikiran yang celaru tidak henti bertanya, mencari apa sebenarnya telah berlaku.

            “Hello…”

            Menoleh dan menguis lapisan-lapisan fikiranku mencari, siapa dia? “Hello,” jawabku sambil melemparkan senyuman walaupun aku masih mencari.

            “Nak mandi?”

            Angguk.

            “Coffee?”

            “Please.”

            “Tuala ada dalam laci meja cermin. You can use my toothbrush. I pergi beli coffee ok? Make yourself at home.”

            Aku hanya mengangguk. Dia berlalu. Aku masih berat untuk bangun. Fikiranku masih cuba mencari padan pada wajah itu dengan nama-nama yang aku ingat. “Ziela!” Akhirnya aku temui. Dia lain sekali. Maksudku, wajahnya semalam dan tadi lain sekali. Akhirnya aku gahkan juga bangun. Terpandang wajahku di cermin berhadapan; wajahku lain juga! Baru aku tahu, wajah seseorang tidak selalunya sama. Berubah, mengikut keadaan dan apa yang telah kita alami. Keadaanku agak sengal di setiap bahagian yang bernadi. Aku masih tidak ingat apa yang telah aku alami. Aku tak mahu ingat kalau boleh.

            Dalam bilik air, aku mengantung tuala warna biru yang aku capai dalam laci dan agak terkejut apabila mahu membuka seluarku – selama itu aku berjalan dalam bogel! Terduduk aku di bekas tempat buang air, memikir…apa sebenarnya yang berlaku? Apa yang telah aku lakukan, pada Ziela dan diriku sendiri! Agak lama. Ingatanku hanya cetusan kecil sana dan sini. Sedikit demi sedikit ianya semakin dapat dikaitkan dan dicantumkan. Walaupun tidak jelas, tapi aku tahu kini aku dan Ziela…

            Terlalu banyak rasanya hari-hari yang sebegitu semenjak itu. Walaupun setiap hari berikutnya bila pertimbanganku kembali, aku berjanji pada diriku sendiri tidak mahu begitu lagi. Janji itu bagai lirik lagu yang aku hafal - dinyanyikan saja-saja. Aku tahu nun jauh di dalam diriku, perbuatan aku itu perlu dibendung. Ianya menyalahi. Ianya destruktif. Dan, esoknya aku kembali ke “Bar Zoo” dan mengulanginya kembali – ketagihan!

            Ziela kelihatan senang padaku. Aku hairan, mengapa dia begitu padaku. Rupaku? Mungkin. Hartaku? Tidak mungkin – aku hanya seorang eksekutif pemasaran di sebuah syarikat pengiklanan yang kecil. Kejantananku? Lagi tidak mungkin! Bekas isteriku begitu lantang bersuara menyatakan tentang tiada rasa nafsunya terhadapku. Jika seorang wanita berkata begitu kepada anda, apalagi yang dia maksudkan? Kejantananku? Tidak seribu kali tidak, walaupun hanya tuhan saja yang tahu, itu yang aku mahukan!

            Aku duduk di tepi pantai melihat matahari tenggelam di sempadan laut dan langit. Agaknya Mahsuri pernah ke pantai Chenang dan melihat apa yang aku lihat itu. Tujuh keturunan dan matahari masih setia terbenam di sebelah Pantai Chenang. Sekumpulan burung berantaian terbang melintasi. Jenis Bangau agaknya. Aku cuba kembali untuk menyaksikan matahari yang tenggelam, terbenam atau ditelan itu. Namun entah mengapa, bangau yang berterbangan tadi tidak mahu pergi dari fikiranku. Aku datang ke sini untuk mencari ketenangan. Aku mahu jiwaku tenang dan memikirkan tentang hidupku. Itu sesuatu yang penting, namun aku tidak dapat lari dari memikirkan tentang bangau-bangau itu!

            Ziela menyambut salamku dan mencium tanganku. Wajahnya lain kini dan sudah tentunya wajahku pun lain dari pandangannya. Keadaan berlainan sekali kini. Matahari yang setia senja di Pantai Chenang dan bangau-bangau yang aku sehingga kini tidak tahu spesisnya mengajarku. Aku mengerti kini, matahari itu begitu, teratur setia mengikut apa yang telah ditetapkan. Tidak mungkin ia terbenam di sebelah Pantai Datai atau Tanjung Rhu. Jika berlaku sudah tentu kelam kabut dan aku tidak mahu fikirkan apa yang akan terjadi. Begitu juga dengan bangau-bangau itu. Aku hairan, mereka mampu merentasi dunia mengikut musim. Tempat yang sama di satu masa yang sama setiap tahun! Bagaimana bangau yang otaknya jauh lebih kecil dariku mampu mencari arah merentasi benua ke tempat yang sama, berulang, setiap musim? Sedangkan aku yang berakal ini masih tidak mampu mengarah diriku sendiri? Apakah “dunia” aku ini terlalu luas? Lebih luas dari dunia ini? Apa sebenarnya yang aku cari hingga aku sesat jauh sebegini? Mencari nikmat? Apakah maksud nikmat itu? Rasa yang mulanya enak, tetapi kemudian menyengalkan sendi?

            Aku menyesatkan diriku sendiri. Aku menyulitkan hidupku sendiri. Enaknya sejenak, rasa sakit gelisah bersalah itu tidak. Seperkara menjurus kepada seperkara yang lain. Sekali mendapat rentak, tiba-tiba pemahaman itu hadir dan meletakkan segalanya di tempat mereka. Aku sedar aku sayang pada Ziela. Bukan rasa bersalah terhadapnya yang membuat aku mengajaknya bersamaku. Aku sayang padanya.

            “Ziela, boleh I tahu sesuatu?”

            “Mmm,” dia mengangguk.

            “I perlu tahu, mengapa I? Mengapa you bekerja di situ sedangkan you ada kelulusan Universiti. You kerja di tempat sebegitu dan tinggal di kondominium mewah. You ada kereta mewah. You ada keluarga yang mewah. Maksud I, I lihat sekeliling you semuanya mewah kecuali dua perkara…”

            “Apa dia?” Dia memotong.

            “Bar Zoo & I.”

            Ketawa - dia saja. Aku tahu dia akan ketawa dengan jawapanku. Jadi bila dia begitu - dalam perbualan yang aku kategorikan sebagai penting -, aku tidaklah begitu rasa terguris. Dia mempunyai sepasang bijimata yang cantik. Teringat aku akan kucing makcik Sapiah di sebelah rumah ibuku, Peah. Warna bijimatanya berlainan. Sebelah kiri biru dan kanan hijau - bijimata Ziela maksudku. Aku tidak begitu ingat warna-warna biji mata si Peah itu.  Agak lama dia memandangku – berfikir agaknya – dan selama itu aku rasa semakin tertarik pada kedua bijimatanya itu.

            “I cari kelainan. I cari sesuatu. Tak tahu apa, tapi I rasa begitu kosong sekali hidup I. I ada hampir segalanya, tapi I rasa resah. Ada sesuatu yang tidak kena pada kehidupan I.”

            “Kini?”

            “Masih.”

            “Apa maksud you?”

            “I berhenti kerja dan cuba mencari.”

            “Di Bar Zoo?”

            “Entahlah. I saja-saja kerja di situ untuk memenuhi masa I. Hidup I terlalu pantas. Clubbing, boozing, sex, tapi bila I bangun setiap hari berikutnya, I selalu tertanya, di manakah I, apa yang telah I lakukan dan rasa sakit-sakit seluruh badan itu tidak membantu. You faham maksud I?”

            Aku hanya mengangguk. Rupanya rasa kita sama di setiap hari berikutnya. “Dan I?”

            “You…”

            “I seperti Bar Zoo? Tempat singgahan you berehat?”

            “No!,” agak tegas dia jawab. Seketika aku pasti, aku melihat api di matanya itu. “You…I tak tahu bagaimana nak cakap pada you. Tapi you bukan seperti apa yang you sangkakan ok?”

            “Habis apa?” Aku mendesak. Aku benar mahu tahu. Ianya penting. Aku perlu tahu kedudukanku pada dirinya.

            “I sayang pada you. I really am. Sayang, would you take me away from all this?”

            “Sayang, sebab mengapa I tanya you semua ini ialah kerana sememangnya I mahu meninggalkan semua ini. I felt the same way like you do and I know I dah jumpa jalan keluar dari semua ini. Mahukah you bersama I?”

            

Duduk di sejadah kami berpelukan. Aku mengusap-usap kepalanya dan dia memelukku seakan tidak mahu melepaskanku. Aku merasai kepanasan airmatanya di bahuku. Itu kali pertama kami bersama bersolat. Itu malam pertama kami sah sebagai suami dan isteri. Dan itu perkara yang pertama kami lakukan sebaik masuk kedalam bilik selepas majlis.

            Itulah ceritaku. Bagaimana aku jauh mencari sedangkan apa yang dicari itu ada pada diriku sendiri. Aku bersyukur, akalku masih waras dan mampu menilai sedangkan sekeliling amat melalaikan. Aku bersyukur dilahirkan beragama, lantas apabila melanggari, rasa bersalah itu wujud. Apabila bermasalah, ada jawapan tersedia. Dan apabila sekelilingku meragukan serta mengkhianati, aku boleh mengharapkan padanya.

Di masa senja begini, aku dan Ziela sering bercerita pada anak-anak tentang “Bar Zoo”, Matahari di Pantai Chenang dan bangau yang hingga kini tidak aku tahu spesisnya. Kami mahu mereka beringat dan belajar dari kesilapan kami. Namun jauh dalam hati kami mengetahui, mereka bakal diduga - dikejutkan, diresahkan dan disogokkan jalan keluar yang mudah. Kami hanya berdoa agar mereka menemui dan merasai apa yang kami rasai kini. Realiti kehidupan perlu menggigit untuk mengingatkan dan mengajar. Senja begini, aku dan Ziela sering melihat matahari yang pergi, menggambarkan burung-burung pipit yang terbang itu bangau dan “Bar Zoo” pasti terbayang. Aku memandangnya dan dia juga begitu, senyum. Dia mencapai tanganku lalu kami berpimpinan masuk meninggalkan balkoni.

Published in Berita Minggu - tarikh sama dengan cerpen Cinta "Hot-Chocolate".

Lari…

Friday, June 9th, 2006

Mari lari bersamaku;

meniti tujuh jalur pelangi,

menuju tujuh petala langit.

Mari lari bersamaku;

mencium kasturi,

menikmati syurga.

Mari lari bersamaku;

jika itu yang kaumahu,

jika itu bisa meluluhkan hatiku…

Cinta “Hot Chocolate”

Friday, June 9th, 2006

“Dia segalanya bagiku…,” memaling, melarikan pandangan dariku - melihat pada kenderaan yang berlalu agaknya – pada jalan besar yang sibuk dengan jari telunjuknya menguis-guis lembut bibirnya dan berkata, “Aku benar kehilangan. Kosong…dia tiada dan dalam ini pun kosong,” sambil mengetuk-ngetuk dada dengan jari-jari halus tangan kanannya. “Aneh bukan?”

            Selama ini pandanganku terpaku padanya. Lantas apabila dia berpaling memandangku dan berkata, “Aneh bukan?”, buat kali kedua, aku tersentak. Mengapa? Entahlah, aku sebenarnya jauh mengamati wajahnya itu. Entah bila dan di mana, tetapi tanyanya itu menyentak dan aku kembali pada diriku sendiri. Mencari kata-kata menyahut pertanyaannya itu, aku kembali hanyut entah ke mana…

            “Hello…dengar tidak apa yang I cakap ini?”

            Senyum, “Saya dengar, cuma…”

            “Tak faham?”

            “Iya.”

            “Tak faham?”

            Aku hanya mengangguk sambil jariku menarik-narik lembut janggut yang aku sedar agak panjang meliar dan perlu dirapikan semula. Dia memaling semula, melihat jalan besar itu. Sebahagian rambutnya jatuh menutupi sebahagian mukanya. Di biarkan begitu, tidak ditolak dan diselitkan pada telinganya, seperti kebiasaan. Rambutnya yang lurus paras bahu itu berwarna jingga tua; sinaran lampu diatas menyerlahkannya. Aku benar tertarik. Ianya begitu…kena pada rupa parasnya. Bujur sirih dan kulitnya yang bersih putih itu benar…hidungnya itu benar…bibirnya itu benar…dan mata itu…ah, aku benar hilang dalam mengagumi dia yang didepanku ini. Dia yang benar menguasai hatiku ini.

            “I tak tahu apa nak buat. Semuanya tidak kena. Rasa lemah dan benar tertekan kerana semuanya ini. Rasa kehilangannya begitu menghimpit dan entah mengapa, diri I juga hilang entah kemana. Tiada arah, setiap kali membuka mata dari tidur yang penuh resah, I memandang dinding, berfikir, mencari, mengapa I masih di sini, keseorangan. Aneh bukan?” Melihatku dan mata itu…

            “Hello.”

            “Iya, you hilang arah. Saya faham.”

            “Tak faham mengapa I boleh jadi sebegini…lemah.”

            “Sabarlah. Masa mengubati dengan membiasakan diri pada keadaan.”

            “Membiasakan pada keadaan?”

            “Iya.”

            “Bila?”

            “Manalah saya tahu, tetapi banyak bergantung pada you juga. You harus terima hakikat keadaan kini. Dia sudah pergi, tidak mungkin kembali. Itu hakikat. Soalnya, bila pula you dapat menerimanya dan membiasakan diri dengan keadaan, tanpanya.”

            “I harap ianya semudah itu. Oh Tuhanku…alangkah ianya semudah itu. Tapi, ianya tidak.”

            “Hello, you langsung tidak mahu mencuba. Cubalah, lihat dan seberangilahlah sempadan itu. Sinar itu ada. Jangan tutupi diri itu dari kehidupan ini. Ini bukan kemahuannya. Dia tentu mahukan you teruskan kehidupan you seperti biasa.”

            “Mana you tahu?”

            “Andai saya mencintai seseorang, dia segalanya. Sudah tentu saya mahu dia bahagia, tidak duka menderita seperti you. Jika you di tempatnya, bukahkah itu yang you mahukan?”

            Diam. Hatiku luruh melihat dia menitiskan airmatanya. Terlalu dalam perasaanku terhadapnya. Ya, aku rasa aku menyintainya dan apabila dia kehilangan kekasihnya dalam satu kemalangan jalanraya, terasa amat berdosa kerana hatiku terlonjak-lonjak melihat ruang untuk hadir dalam hidupnya. Bukan ini yang aku mahu. Bukan begini. Melihatnya begini, menderita menanggung perasaan kehilangan sesuatu yang amat dia sayangi, aku diheretnya bersama merasai. Andai aku katakan bahawa aku lebih menderita, sudah tentu dia tidak percaya. Tetapi, begitulah rasaku…aku tahu.

            “Farah…bangunlah. Keluar dan biarkan sinaran diluar itu menjana kembali dirimu itu. Kau terlalu lesu dan membiarkan dirimu itu, mati!. Kau menyiksa dirimu…dan aku. Andai kau tahu perasaanku pada apa yang telah aku lalui, masa lalu dan kini, pasti kau faham mengapa aku lebih menderita. Kau kehilangan seseorang yang pergi buat selamanya. Aku kehilangan seseorang yang masih ada, terkadang terserempak ditengah jalan, kompleks membelibelah atau pejabat atau di mana saja dan setiapkali itu berlaku, hatiku rasa ditusuk, robek dan dimamah oleh perasaanku sendiri. Rasa yang tidak mahu pergi, menghantui! Namun, aku mampu menampilkan wajah biasa didepannya, sedangkan seluruh isi dalamanku runtuh dengan bergelodak dalam perutku. Ianya berulang tanpa apa-apa amaran. Kerap aku mengingatkan diri agar bersedia, namun dia sering muncul setiap kali aku lalai. Aku tidak mampu mengatasi rasahatiku terhadapnya selagi kau tidak menyambutku dalam dangkapanmu…menerimaku seperti mana kau menerima kehadiran Fazlan. Aku di sini, sedia dan mahu setia padamu dan kau di sana tidak mengetahui dan terlalu setia pada yang telah pergi. Mahu saja aku meluah,tapi kau terlalu setia -  aku terlalu takut memberitahu kerana tidak mahu kau keliru; menceroboh dan menakluki ketika kau lemah dan memberatkan lagi apa yang kau tanggungi – dan aku terlalu menghormati egoku ini. Aku tidak mahu menjadi dahan yang kau paut sebentar menghilangkan lesu dan mengamankan dan mengubati hati. Aku tidak mahu apabila lesu itu hilang dan hati itu aman, kau sedar…aku bukan segalanya. Aku tidak mahu begitu – mengambil kesempatan atas dirimu. Tidak, aku tidak mahu begitu. Aku terlalu bangga akan diriku sendiri. Dan, aku tahu erti kasih sayang itu…aku pernah kehilangannya, - kasih dan sayang itu – tetapi orangnya masih ada. Tidak sepertimu…sekarang kau faham mengapa aku lebih menderita darimu? Dia sudah tiada bagimu dan aku terpaksa berulang melalui…neraka!”

            

            “Farah,” dia masih setia pada jalan besar itu. Tidak berpaling padaku bila aku menyebut namanya. Rambut itu masih begitu, cuma airmatanya itu semakin kerap

menitik jatuh setelah menyusuri lekuk antara hidung dan pipinya, terkumpul seakan cuba berpaut pada bibir dan dagu, namun dirinya itu terlalu hancur dan titikan yang hampir tidak putus itu menyatakan segalanya, “Farah…you tidak boleh begini. Antara sedar atau tidak, ianya destruktif. You menghukum diri sendiri. Dan, saya benar risau.”

            Destruktif…pada dia dan aku. Risau…pada dia dan aku. Menghukum…dirinya dan diriku ini. Mengapa aku diletakkan pada keadaan begini? Apa salahku? Maznah pergi mengejar sesuatu yang  mungkin tidak akan aku fahami dan Farah yang membawa harapan bagiku berpaut dan mengubati hatiku yang lali ini, tetapi dia terlalu setia. Benar terasa aku ini lemah. Perlu berpaut, perlu ada…tempat bagiku berselindung!”

            “Risau? You risau?” Dia memaling. Sesuatu muncul dari wajah itu. Sesuatu dari dalam…kemarahan!

            “Iya, I risau melihat you,” lembut kataku cuba mempertahankan kedudukan.

            “Ianya bukan masalah you,” ringkas dan memaling semula memandang jalan itu.

            “Bukan masalah I? Dan, you begini didepan I, meluah apa yang mengganggu dan ianya bukan masalah I?”

            “Tidak bermaksud begitu apabila bertemu you. I cuma mahukan seseorang mendengar. Itu saja.”

            “ Sepatutnya you cari orang yang kau tak kenal…,” aku mematikan saja apa yang mahu aku katakan lagi setelah dia memberiku satu pandangan yang berhawa dan membara – kemarahan itu muncul kembali.

            Jadinya begini…Dia mahukan aku mendengar dan aku mahukan dia menanam dan memulakan kehidupan yang baru – bersamaku. Keadaan amat selari, secucuk – kami sama menderita orang yang kami sayangi. Aku mengenalinya semenjak di bangku sekolah rendah. Kami begitu erat – dia tahu rahsiaku dan sebaliknya. Aku mempunyai rasa ini: Rasa yang melonjak riang setiapkali berjumpa atau mengingatinya. Tidakkah rasanya sama juga?Mengapa pula aku hanya harus mendengar? Tidakkah aku berhak bersuara? Kemarahan yang ketara dari pandangannya itu berjangkit. Aku juga marah, padanya yang mahukan aku sebagai patung dan pada diriku sendiri. Aku benar terhina. Dia tidak perlu menghinaku sedemikian. Aku tidak perlu menghina diriku sedemikian. Benarlah…aku yang lebih merasai neraka itu!”

            “Thanks for your time,” bangun dan berlalu.

            Ianya sesuatu yang aku jangkakan. Dia perlu pergi – seperti kebiasaan, lari dari apa yang menyulitkan – sifat semulajadi manusia. Aku pun mungkin begitu. Melayani perasaan hati yang lemah dan apabila sedar terancam, semestinya bertindak begitu. Aku tidak mahu dia pergi walaupun aku tahu dia sememangnya begitu – keras kepala!

            Kini benar segalanya semakin sulit. Maznah pergi dan kini Farah. Bagaimana kiranya bertemu kelak? Maznah masih mampu meruntuhkan. Farah? Aku benar menggali lubangku sendiri…

            Setahun berlalu dan dua tiga kali melalui “Neraka”. Farah menyepi dan aku pula terlalu berat mahu menghubunginya. Lalu dibiarkan saja begitu dengan harapan keadaan dan masa menentukannya. Setiapkali Maznah menyapaku, aku terpaksa merawat hatiku untuk beberapa ketika. Aneh, “Hello”nya itu seperti tangan-tangan yang menghancurkan. Aku senyum menyambut sedangkan waktu itu degupan jantungku bagai rentak musik heavy metal! Isi tubuhku terasa dikupas dan terasa derusan darah menyusuri uratku – diriku rasa kebas! Parah! Dia kelihatan biasa saja – seperti tiada apa yang berlaku antara kita. Aku lebih dari biasa, kerana masih mampu berlakun didepannya itu. Setahun telah berlalu dan diriku kerap bertanya, “Dimanakah Farah?”. Aku perlu tahu bagaimana jika kami bertemu. Bagaimana dia dan bagaimana aku.

            “So you masih setia disini…”

            Berderau diriku dengan darah melulu menerpa wajahku. Aku terpegun sebentar setelah menyambut dengan memandang arah datangnya suara itu. “Farah?” kata hatiku…

            “Farah!”

            “I ini hantukah?”

            “Memanglah. Lebih setahun kita tidak bertemu. I hampir tidak mengenali. Bertudung?”

            “Iya. Pelik? Biasalah. Anyway, I ada dan selalu melihat you di sini.”

            “Iyakah? Mengapa tidak menyapa?”

            “Saja. I tak mahu mengganggu.”

            “Kawan seperti you tidak pernah mengganggu,” aku tahu, aku menipu.

            

            Senyum. Aku begitu senang sekali waktu itu. Terasa ringan di kepala dan sejuk di hati – hatiku melonjak-lonjak!. Farah didepanku dan aku tidak merasa sepertimana apabila aku bertemu Maznah. Suaranya itu bukan tangan yang merobek – ianya lebih pada mengusap lembut.

            “Sebentar,” kataku sambil berlalu masuk ke dalam. Sepanjang aku didalam, diriku tidak henti melonjak bergelora. Bibirku yang mengukir senyuman menyatakan segalanya.

            “You masih ingat…”

            “Hot Chocolate with no cream…you takut gemuk!”

            Kami ketawa dan disambut senyuman yang menyatakan perasaan yang mendalam. Matanya itu berlainan sekali. Pandangannya itu menyatakan sesuatu – perasaan yang mendalam terhadapku! Diri kami saling meluah tanpa perlu bersuara. Diam, tetapi masih tersenyum, aku rasa diriku menangis kegembiraan.Begitu mendalam sekali dia dalam diriku dan aku pasti dia pun begitu. Senyuman kami menyatakan segalanya.

            “Setahun, lebih! Apa yang you lakukan?” Akhirnya aku menghentikan luahan batin kami.

            “Nothing much. I hanya bekerja…bekerja dan bekerja.”

            “Itu saja?”

            “Ya. Itu saja.”

            “All work and no fun?”

            “Work is fun when you’re in my place!”

            Kali ini kami ketawa. Airmataku bermain dimata dan perlu aku mengelapnya dengan jariku. Aku benar-benar ceria waktu itu. Dia juga begitu. Wajahnya begitu menyerlah seakan ada lampu yang bernyala didalamnya.

            “Bagaimana dengan you?”

            “Biasa saja. Ada sesuatu yang nak I beritahu.”

            “Apa dia? You nak kawin?” Tanyaku spontan berseloroh.

            “Not really. I nak minta maaf atas segalanya. Remember…hari itu di sini?

            Aku hanya mengangguk, masih senyum walaupun dia tidak.

            “Banyak perubahan dalam hidup I kini…,” terhenti apabila seorang lelaki yang dari tadi tidak henti memandang kearah kami menghampiri dan berhenti di meja kami. “Ini Razlan, abang Fazlan…”

            Sebulan berlalu dan aku masih mengingati waktu itu. “Ini Razlan, abang Fazlan…” mematikan segalanya – antara kami. Tidak henti menyalahkan diriku. Tidak henti kesal di hati ini. Katanya itu berulang-ulang aku dengar - dipaksa. Dia perlu memusnahkan apa jua harapanku padanya. Tangannya seperti tangan Maznah kini. Aku disumpah lagi! Tuhan mendugaku lagi. Tidak cukup satu, diberinya dua. Kini aku terpaksa melalui Neraka itu setiap kali mereka hadir. Mungkin persepsiku terhadap  Neraka itu memakan diriku sendiri. Kata-kata dari rasahati perlu dipelihara, perlu dijaga agar tidak sumbang. “Neraka,” kataku, tapi pernahkah aku melaluinya? Aku benar diajar…

Helmy Samad

CBSJ

16:48

5hb Jun 2002

Published - Mingguan Malaysia - in 2003 I think…

Antara Kau & Aku…

Thursday, June 8th, 2006

Andai kukatakan aku mencintaimu,

bagaimana?

Adakah jiwamu bergelora,

merasai apa yang kurasai?

Atau,

kau fikir,

aku hanya berjenaka,

lantas meluluhkan hatiku

kerana,

antara kau dan aku,

gigil tangan yang menghulur ini,

hanya keikhlasan yang kuberi.

Antara kau dan aku,

tidak mungkin aku berjenaka.

Antara kau dan aku…

ah kau dan aku,

bukankah itu indah?

Daisi Putih di Laman Maya

Thursday, June 8th, 2006

            Resah. Entah mengapa dirinya resah. Hatinya tidak mengenali dan keliru dengan  apa yang dirasakannya. Dua setengah pagi dan dia masih segar, tapi resah sedangkan petang tadi merasai dirinya lesu - hanya tilam di biliknya itu yang dapat difikirkannya - dan matanya hampir-hampir saja tertutup semasa kedua tangannya memegang stering, menanti dalam kesesakan yang setia menantinya setiap petang. Bunyi hon dari kereta-kereta dibelakang mengejutkannya. Sepanjang perjalanan, dia bertekad; menyerah diri pada tilamnya itu sebaik tiba di rumah.

            Disambut Sarah dan Hakim, dia agak berhati membuka pintu keretanya kerana mereka tidak henti melompat-lompat bertepuk, berteriak riang ditepi luar pintu keretanya. Lesu dan tilam itu direntap pergi oleh mereka. Senyum dan menggeleng, kedua anak buahnya itu terlalu dominan dalam hidupnya. Anak-anak kecil secomel itu mampu menukar rasanya yang tadi bertekad rapi diikat rantai besi.

            “Kak Farah! Nak aiskrim!” Hakim berkata riang sambil masih berlompat-lompat, bertepuk dan sesekali berlanggaran bahunya dengan adiknya Sarah yang masih tercari-cari rentak mahu lompatan dan tepukannya itu serentak dengan abangnya itu.

            Sesuatu tentang kanak-kanak yang Farah sedari; mereka begitu lantang dan senang menyuarakan keinginan mereka. Tidak berlindung sebalik kiasan kata atau perbuatan. Dia pernah begitu, dahulu. Entah bila dan di mana, sifat itu hilang. “Kematangan agaknya,” bisik hatinya. Pelik, kematangan mengajar dia mengalas kata dan menghias lakunya. Kematangan seakan langsir yang menutupi sifat sebenar diri.

Senyum sambil membuka luas kedua tangannya mahu menyerah rasa kasihnya dan menerima rasa kasih mereka, hatinya menyambung membisik sewaktu berpelukan, “Ya, kamu berdua juga akan matang dan semua ini akan berakhir.”

*****

            “Kau nak kawin ke Farah?”

            Tersentak, spontan memandang Nita yang tersenyum nakal mengusik. “Aku? Kawin?” Ketawa kecil, “Aku?”

            “Ya.”

            “Beritahu aku, bagaimana kau sampai pada pertanyaan itu?”

            “Tidaklah, kebelakangan ini kau tidak macam dulu. Asyik terperap saja kat rumah. Kau simpan duit ya?”

            “Aku terperap kat rumah kerana aku mahu simpan duit untuk kawin?” Ketawa. “Oh pleaseeee, bukankah itu kerja lelaki.” Mereka berdua ketawa.

            “Kalau begitu, kau mesti ada masalah. Ceritalah…”

            Dia yang tadinya ketawa, beransur senyum dan kata-kata Nita itu terus saja mematikan senyuman itu. Nita senyum, menanti.

            Tengahari itu entah mengapa dan bagaimana, dirinya bagai empangan yang pecah. Dia tidak mampu mengawal dirinya dari bercerita walaupun berulang dia sedar dan cuba untuk tidak begitu. Namun entah mengapa, mulut dan hatinya tidak mengendah kemahuan akalnya. Mungkin Nita cekap mencungkil – dia seorang peguam – atau mungkin juga dirinya tidak mampu lagi menampung apa yang bergolak dalam dirinya itu, tapi benar, tengahari itu Nita mengetahui tentang kehidupan lain yang dijalaninya: Dia penagih Internet. Dan, dirinya tidak henti menyumpah – dirinya sendiri – sepanjang petang itu di pejabat.

            White Daisy? Hahahaha…,” terngiang di telinga. Kesal, malu, marah - semua itu bergaul sama bermain dalam hatinya. “White Daisy? Hahahaha…,” lagi.

“Sial!”

            “Huh?”

            Mata mereka bertentang. Tan kelihatan terpinga tercengang. “Huh? Sorry…” Mengalih pandangannya, mereka disekelilingnya sedang memandang padanya. “Sorry…rough day,” katanya mahu meyakinkan mereka seakan terpinga, terkejut dan tidak percaya dengan kata sedemikian yang keluar dari mulut seorang sepertinya.

            

Masalahnya bila kemarahan melanda, apa disekeliling bagai tidak wujud. Api kemarahan itu julang membakar, mata terasa sakit, kerongkong seakan ada tulang, hati terasa dicucuk pisau yang pulas dan akal keliru tidak mampu mengenal, apalagi meleraikan. Malu hilang dan diluahkan apa saja yang membelengu. Anehnya, sebaik diluahkan, api itu padam. Sedar, anda tidak keseorangan. Mata-mata seolah terpaku pada diri sendiri. Masing-masing mahu tahu, siapakah yang bergelar “Sial” itu. Dan petang itu – di pejabat – Farah benar-benar merasakan dirinya begitu kecil sekali. 

            “Ya, saya dengar tentang itu,” senyum sambil jari-jari tangan kirinya bermain mengusap janggut rapinya itu dan jari-jari tangan kanannya mengetuk-getuk berirama di meja. Dia menanti dan Farah tidak tahu di mana dan bagaimana untuk memulakannya. Dia juga diam dan membiarkan saja suasana begitu. Akhirnya,  “Saya juga sebenarnya sudah lama memikirkan tentangnya. Melihat pada fail kamu ini, saya sebenarnya kagum. Prestasi kerja kamu baik…tidak, lebih dari itu. Tiga tahun dan tidak seharipun kamu lewat atau mengambil cuti sakit…”

            Kata-kata itu membosankannya. Resah, dia mahu saja memotong dan terus bertanya tentang permohonan cutinya itu. Tetapi, di depannya itu ketuanya dan dia tidak boleh berbuat demikian. Dia harus berlakun, mendengar apa saja yang dikatanya – walaupun dia tahu 99% karut dan 1% itu kemungkinan saja – dan menanti di manakah arah tujuan ketuanya itu. Semua ketua begini agaknya; mereka berlakun seolah tahu segala hal pekerja mereka. Mahu meyakinkan bahawa mereka mengambil berat, mereka “ketua” yang wibawa, boleh dipercayai, baik…dan Farah terasa ada sesuatu ditekaknya. Itu semua karut. Mereka berlakun juga! Failnya diatas meja itu, dia tahu ketuanya itu sudah menelitinya. Seperkara tentang mereka ini; mereka mengenali dan tahu mencari data-data yang penting. Tidak semuanya dibaca – fail setebal itu, dia memerlukan beberapa hari untuk membacanya.

            “Saya tidak luluskan permohonan kamu ini. Kamu tidak perlukan cuti seminggu. Kamu perlukan lebih dari itu. Dua minggu…saya beri kamu dua minggu! Kamu berhak!” Katanya sambil menghentak meja dengan tangan kanannya, senyum, menanti reaksi Farah.

            Bull!” bisik hati Farah. Dia sengaja berbuat begitu. Kononnya dia seorang ketua yang baik. Tetapi, niatnya itu tidak ikhlas! Dia mahu aku berterima kasih padanya! Dua minggu? Hah! Selepas dia malukan dirinya sendiri baru ketuanya sedar? Sememangnya dia berhak! Siapa agaknya yang meletakkan ketuanya itu dalam kereta mewah itu? Siapa yang biayai isteri kedua, ketiga dan lain-lain wanita yang diperlukannya itu? Siapa hantar anaknya belajar di luar negara walaupun keputusan SPM bagai lepas nyawa ikan? Memang dia berhak! Cumanya, ketuanya itu tidak sedar tentang itu. Dia kira apa yang diberikannya itu satu budi atau hadiah dari seorang ketua yang prihatin dan baik hati, yang perlu dibalas. “Bull!”, tapi dia senyum, mengangguk, bersalam – dia akan terus ke bilik air dan basuh tangannya itu – dan keluar. “Jahanam…kamu perlu buka fail aku untuk memberikan cuti!” Bisik hatinya. Tekaknya masih sakit, dia tidak percaya lakunannya lebih wibawa berbanding ketuanya itu. “Ya, aku akan menjadi seorang ketua yang lebih baik dari kamu!”

*****

WhiteDaisy : Hello. Apa khabar?

MayaMulisha : Baik. Kau?

WhiteDaisy : Entahlah.

MayaMulisha : Macam bermasalah saja. Cuba cerita sikit…

WhiteDaisy : Berapa lama kau kenal aku?

MayaMulisha : Mmm…setahun kot? Kenapa?

WhiteDaisy : Saja mahu tahu bila aku mula internet.

MayaMulisha : Itu yang mengganggu?

WhiteDaisy : Tidak. Aku saja mahu tahu.

MayaMulisha : Habis kenapa bertanya tentang itu? Sekurangnya tentu berkaitan.

WhiteDaisy : Entahlah.

MayaMulisha : Beritahulah. Mungkin aku boleh membantu.

WhiteDaisy : Ehehe, nick kau menyatakannya…kau Maya ;)

MayaMulisha : Bergurau pula. Cik adik, saya di sini dan kamu di sana. Beribu batu merentas lautan dan kita sedang berbual. Waktu ini!

WhiteDaisy : Benar, tapi benarkah aku berbual dengan kau? Maksud aku, kewujudan kau hanya di alam maya.

MayaMulisha : Kewujudan kau juga serupa wahai Daisy putih yang keliru :p

WhiteDaisy : Itu yang aku persoalkan. Aku tidak mahu meluahkan apa yang di dalam diri aku ini kepada seseorang yang kewujudannya hanya di alam maya.

MayaMulisha : Apa yang sedang kita lakukan kini? Berbual bukan? Pertanyaan dan jawapan dari kedua pihak. Itu bukti kewujudan. Ada respon dari setiap pertanyaan baik dari kau ataupun aku.

WhiteDaisy : Maksud aku, aku tidak mengenali kau, secara fizikal.

MayaMulisha : Jadi, kau perlukan kehadiran aku secara fizikal bagi memastikan kewujudan aku? Kau perlu lihat dan rasa untuk percaya? Hello, kau ingat kau sedang berbual dengan siapa? Komputer artificial intelligence ke?

WhiteDaisy : Aku tahu. Tapi, realitinya tidak begitu. Kewujudan itu perlu bukti. Bukti itu perlu nyata. Nampak, boleh disentuh, rasa, bereaksi…

MayaMulisha : Ehehe. Kau ini peliklah. Terjuling mata I membaca apa yang kau taip. Malah aku dapat rasakan bahawa ada urat-urat otak aku yang terseliuh mahu memahami!

WhiteDaisy : Kita luahkan dan dia mengejek pulak. Tak apalah.

MayaMulisha : Ishhh merajuk pula. Wahai Cik Daisy, kau percaya pada Tuhan?

WhiteDaisy : Sudah tentu!

MayaMulisha : Jadi kewujudannya tidak perlukan apa yang kamu syaratkan itu.

WhiteDaisy : Kau bukan Tuhan ok! Bye.

            Lantas menutup komputernya. Agak marah. Entah mengapa kebelakangan ini kemarahannya itu semakin menjadi-jadi. Perbagai persoalan menerjah fikirannya – pening! Menutup matanya cuba mencari ketenangan, dia sedar cara dia menutup komputernya tadi bercanggah dengan apa yang diingatkan dalam manual pengguna. Remeh.

            Dengan peti emelnya yang agak padat, rakan-rakan siber di Messenger, ICQ dan IRC, dia begitu didodoi, khayal, lantas tidak menyedari bahawa masanya dimakan dengan lahap sekali. Dia menemui sesuatu yang baru. Berinteraksi dengan seseorang yang entah di mana seakan membuka pintu pada dunia yang tidak pernah dia ketahui ada. Berkomuniti di alam maya…dunianya kini!

*****

            “Aku rasa lemah tidak bermaya.”

            Burnout dear,” selamba Nita menjawab.

            “Mungkin.”

            Seperti biasa, Nita adalah Nita dan malam itu agaknya habis peti khazanah yang menyimpan cerita hidup Farah diselongkarnya. Dia senyum – sinis. Menggeleng seakan tidak mahu berhenti, “Kau harus kembali sayang.”

            “Kembali?”

            “Dunia realiti.”

            “Huh?”

            “Kau abaikan dunia ini. Dunia maya itu memakan duniamu ini. Kau faham?”

            “Maksud kau?”

            “Kau habiskan terlalu banyak masa di sana. Kau harus kembali. Ini duniamu. Ini yang realiti.”

            “Habis, bagaimana dengan kawan-kawanku?”

            “Oh, jadi kau di sana kerana ingin menjaga hati kawan-kawan yang entah siapa? Hello, kau nampak tak aku ni? Pegang mukaku ini. Kau dapat rasakan?” Sambil memegang-megang pipinya, “Ini realiti. Bukan yang itu ok!”

*****

            Hampir dua minggu berlalu dan aku begitu berat sekali untuk kembali kepada apa yang telah aku tinggalkan – kerja dan internet. Aku pasti tugasanku berlambak menanti menyambut kepulanganku. Aku juga pasti mereka tertanya-tanya tentang kehilanganku dari dunia itu - inbox emelku juga pasti berlambak melimpahi. Disebalik perasaan yang berat itu, aku rasa begitu ringan sekali di kepala - tiada yang berselerak, tiada yang mengusutkan dan tiada ikatan. Aku seolah terlepas dari sesuatu yang…tidak, ianya bukan sesuatu yang buruk, tetapi dunia yang aku temui semula ini menjanjikan sesuatu yang lebih baik. Tiada deadlines, tiada janji atau komitmen pada entah siapa yang aku sendiri tidak kenal secara fizikal ataupun pada ketua yang berfikiran kolot, membawa fahaman bahawa dialah seorang ketua yang bertimbang-rasa, mengambil-berat dan apa-apa saja yang dikelompokkan sebagai baik terhadap pekerjanya – sedangkan selama ini aku tahu, hasil titik-peluh pekerjanya itulah yang sebenar-benarnya bertimbang-rasa, mengambil-berat dan apa-apa saja yang dikelompokkan sebaik baik terhadap seorang ketua yang menjadi kolot bila berjaya.

            Di sini, aku menemui sesuatu yang tidak pernah aku sedar akan kehadirannya. Aku merasai angin yang berlalu itu – nyaman dan membuat kerongkong atau hidungku gatal – kerongkong dan hidungku agaknya tidak biasa dengan udara sebegini. Aku dapat memijak merasai tanah-tanah, pasir dan rumput - yang mempunyai rasa mereka sendiri - dalam setiap langkahanku, tanpa perlu ada perasaan takut bahawa ianya kepunyaan seorang tauke atau ahli ‘keparat’ atau siapa saja yang akan mengherdik menghalau atau meminta sewa kerana itu kepunyaannya. Aku bertemankan alam semulajadi tanpa diganggu atau belengu kebendaan – ya, tanpa komitmen yang bersandar kehendak. Ringan, aman dan senang sekali. Namun, aku tahu, hidup tidak sebegitu jalannya. Komitmen yang lahir dari jiwa yang bernafsu akan berulang berlabuh pada hati yang lemah. Bezanya kini, aku sedar dan akan berusaha mengingatkan diriku sendiri supaya tahu bagaimana dan bila untuk ‘berkomit’ dan tidak saja-saja terjun tanpa tahu apa isi, rasa dan jerat yang menanti. Hidup perlu imbangan yang tidak berat sebelah.”

            Di Chenang ini, bangau-bangau itu berantaian terbang mengisi langit petang yang luas dan aku pasti, esoknya aku masih di sini – seperti mereka- dan cuba memanjangkan rasa yang aku temui ini dengan mengutus surat – mungkin emel saja – kepada si ketua kolot itu dengan menyatakan bahawa dia perlu lebih sedar tentang kehidupan dan mereka yang menghidupkannya dan tidak bergantung pada perasaan dan fahaman yang kolot itu. Ah, tidak, aku mahukan begitu, tetapi lebih senang dengan hanya mengutus dan memberitahu tentang keputusanku: Aku perlu lebih masa. Tidak perlu aku meluahkan apa yang aku fikirkan tentangnya itu. Dia tidak berhak dinasihati – dia terlalu tinggi untuk dinasihati oleh aku yang dibawah. Dia perlu sedar sendiri – diajar oleh yang lebih tinggi darinya. Bukahkah orang sepertinya itu terlalu dibuai kedudukan hingga merasakan bahawa dialah yang “memberi” kepada yang dibawah. Mana mungkin aku mampu menasihatinya. Biarkanlah. Biar Tuhan mengajar dengan caranya sendiri. Itu sebaik nasihat, pengajaran dengan harapan mendapat kesedaran – sepertiku.

            Di Chenang ini, berkali teringat akan rakan-rakan internet yang pasti tertanya mengapa aku menyepi sebegini lama. KLue, MayaMulisha, Kursk, Bender, Siantan, Vision, Madd, Zant, Rupert…ah, aku rindu sebenarnya pada mereka. Aku harap mereka memahami; aku perlu ‘pergi’ sebentar mencari diriku sendiri. Aku perlu mencari identitiku. Aku disedut dan diulik ke dalam dunia dimana kelamaan aku tidak lagi mengenali diriku sendiri. Aku berlakun di dunia nyata, tetapi menjadi sebaliknya di dunia maya itu. Mengapa?

Usikan sinis Maya dan Rupert, Bender dan Madd yang sibuk bertelagah dengan pasukan EPL mereka, Siantan dan Vision yang kerap menasihati dan berpuitis dan mereka yang lain dengan keperibadian mereka sendiri, aku sedar kami sebenarnya anak-anak seperti Sarah dan Hakim – begitu dahagakan kelantangan suara diri yang sebenar, senang tanpa perlu berlakun untuk menyuarakan keinginan atau ketidakpuasan dan tidak perlu menyogok untuk mendapatkan apa yang tidak kekal itu. Berbanding dunia nyata ini, kami terpaksa berlakun; nyaring berdendang menyanyikan lagu hasrat hati yang mengejar cita-cita tidak berpagar untuk diri yang terlalu mengagungkan materialistik. Pelik, kami menjadi diri kami yang sebenar bila di alam maya dan berlakun di alam nyata ini…pelik, sekurangnya itu yang aku rasai. Terlalu banyak yang meneroka dunia ini sedar akan kemampuannya dan menggunakannya sebagai alat untuk memenuhi nafsu mereka. Rumahtangga yang hancur kerana suami atau isteri atau keduanya main kayu tiga kerap terjadi. Mengapa? Aku kira mereka adalah mereka yang sebenar. Mereka yang bernama manusia. Manusia yang bernafsu. Kehadiran sesuatu seperti internet yang batas sempadannya tidak wujud memberi seakan kuasa kepada penggunanya. Dan kuasa, bila ditangan manusia adalah seperti telur dihujung tanduk. Kesedaranku tentang kehidupan lahir dari pembabitanku dalam dunia maya ini. Aku diajar dalam dunia maya ini! Apa yang kita cari? Apa yang sedang kita lakukan? Bila ini ditanya, jawapannya sesuatu yang objektif kerana hati itu mempunyai pelbagai citarasa.

Aku perlu kembali. Kembali kepada realiti. Realiti kehidupan. Tiada lakunan untuk “membeli”, hanya perlu mempersembahkan diriku yang sebenar. Terlalu sudah kekeliruan pada diri ini. Aku perlu kembali. Keluar dari minda yang korup, hati yang hangus terbakar…

*****

MayaMulisha : Heyyy, mana kau menghilang? Kawin kaaa?

WhiteDaisy : Hai Maya. Taklah. Takan kawin tak jemput kau?

MayaMulisha : Manalah tahu. Habis tu kau menghilang ke mana?

WhiteDaisy : Aku saja-saja, jalan-jalan…

MayaMulisha : Huh? Saja-saja? Jalan-jalan? Cari makan? Kat mana?

WhiteDaisy : Ehehe…jalan-jalan mencari diri sendiri.

MayaMulisha : Jadi, dah jumpa dah?

WhiteDaisy : Apa fikiran kau?

MayaMulisha : Aku kau suruh fikir? Aduhhhhh…asal bercakap dengan kau urat-urat otak aku pasti sakit terseliuh!

WhiteDaisy : Hahaha…kau ni masih begitu. Suka menyakat, tapi aku suka begitu. Kau adalah diri kau yang sebenarnya di sini.

MayaMulisha : Haaa? Apa tu? Falsafah yang kau jumpa masa kau jalan-jalan cari diri kau?

WhiteDaisy: Mungkin, tapi kenyataan. Aku tidak fikir kau berkelakuan begini apabila kau diluar sana. Betul tak?

MayaMulisha: Aku tak faham.

WhiteDaisy: Maksud aku, adakah kau bercakap begini semasa kau diluar sana?

MayaMulisha: Gila kau! Mak aku piat telinga aku kalau dia tahu perangai aku begini.

WhiteDaisy: Jadi, perangai kau lain bila disini dan diluar sana…

MayaMulisha: Mmm…itu sesuatu yang aku tidak sedar selama ini.

WhiteDaisy: Kita terlalu materialistik hingga perlu berlakun dalam menyatakan siapa diri kita.

MayaMulisha: Tapi kat dunia ini pun terlalu banyak yang berlakun untuk diri mereka sendiri.

WhiteDaisy: Benar, tapi aku tidak. Kau?

MayaMulisha: Ehehehe, kau ni peliklah Daisy, tapi aku gembira kau kembali.

WhiteDaisy: Kau tidak menjawab pertanyaanku itu.

MayaMulisha: Entahlah. Dalam dunia ini manusia menilai dari segi material, bukan hati, seperti apa yang kau katakan itu. Aku kira, aku pun kadangkala terbuai juga.

WhiteDaisy: Itu yang aku jumpa selama pemergianku.

MayaMulisha: Ooooo…burnout eh?

WhiteDaisy: Ya. Semuanya bercelaru. Kini aku fikir aku dah ok.

MayaMulisha: Fikir? Bunyi macam kau tak pasti saja.

WhiteDaisy: Tiada kepastian dalam dunia ini…

MayaMulisha: Kecuali mati…tapi, sikap manusia dan internet. Bukankah itu satu subjek yang menarik?

WhiteDaisy: Ya. Aku diajar tentangnya di sini.

MayaMulisha: Manusia diajar dimana-mana saja Daisy, tapi aku gembira kau sudah kembali.

WhiteDaisy : Aku juga begitu. Aku gembira aku kembali…dalam dunia realiti ini.

*****

SSN

Saturday, June 3rd, 2006

Tiada cahaya matahari, redup, muram sebenarnya dan mereka yang berlalu seakan tenang tidak mengejar apa-apa, mungkin juga tidak bermaya. Baru seminggu tahun baru, tetapi sudah hampir dua minggu hujan setiap petang hingga lewat malam. Namun, Kuala Lumpur tidak dilumpuhi banjir seperti di pantai timur ataupun utara akhir tahun lalu. Mungkin sistem salirannya sudah dinaiktaraf. Mungkin juga mereka yang menerangkan hutan tanpa belas kini sudah berhati sedikit. Mungkin juga Kuala Lumpur sudah kurang lumpurnya yang menyendat longkang dan sungai. Dan mungkin juga hujan yang turun seperti suasana yang muram, tidak bermaya.

“Kau tiada jawapan pada persoalan ini bukan?”

“Sekiranya jawapan itu perlu, tentu saja akan kuberikan agar terisi keperluan ingin tahu itu.”

Merenung, menggosok-gosok sedikit dagunya sambil tersenyum ingin memahami… “Kau tidak faham?”

“Hampir…sehinga kau bertanya mengganggu.”

“Oh…teruskan. Aku ada masa,” kata Kamal sambil menyedut rokoknya sambil tangannya mencapai cawan kopinya.

Ramli tersenyum, “Maksud kau, kau tahu jawapannya mengapa sudah dua minggu Kuala Lumpur hujan, muram dan penghuninya lesu?”

“Apa itukah kefahaman kau?” Ramli senyum lagi. Kali ini menggeleng sedikit. “Kau masih tidak faham bukan?”

“Aku keliru…”

“Samalah tu…keliru, tidak faham sama saja bagiku.”

“Kau terlalu kompleks.”

“Aku?”

“Ya, kau.”

“Bagaimana kau berkesimpulan begitu terhadap aku?”

“Dulu kau tidak seperti ini. Dulu kau bernyanyi mengenai bola, perempuan, kereta, gajet-gajet, keluarga, tetapi kini tidak. Aku tidak faham mengapa hujan, banjir, Lumpur, suasana yang muram, keadaan yang tak bermaya dan juga sistem saliran menjadi medium kau kini.”

Kamal ketawa, hampir terbahak hingga mengelap sedikit kelopak matanya yang berair.

“Kau fikir aku berlawak?”

“Cara kau bernyanyi itu menggambarkannya.”

“Oh, kini aku yang bernyanyi pula?”

“Bukankah itu yang manusia lakukan selama ini?”

“Hah! Itu maksudku! Nyanyian atau kata-kata kau kini bernada sebegitu!”

“Sekarang kau pula yang mengelirukan aku!”

Mereka ketawa serentak dan agak mengejutkan penghuni kafe yang tidak bermaya itu.

“Aku benar tiada jawapan wahai sahabatku. Namun, andai jawapan itu perlu, akanku berikan satu, tidak kira samada ia benar atau tidak, agar dapat memenuhi keperluan ingin tahu itu.”

“Oh begitu. Maksud kau, jika aku paksa, kau akan berikan saja apa yang terlintas?”

“Begitulah. Tapi, aku lebih suka jika sesuatu itu diperbincangkan dengan panjang, dengan lebar dan dengan lebih mendalam. Aku pernah ditanya mengapa matahari terbit dari timur. Senang, kerana bumi berputar ke arah itu. Aku ditanya lagi mengapa bumi berputar ke arah itu? Nah, itu persoalan yang bakal melumpuhkan. Namun, jika timbul keperluan memberi jawapan pada waktu itu juga, jawapan paling mudah adalah, kuasa tuhan. Siapa kita hendak menyoal. Mudah, tapi bukahkah sesuatu itu berlaku dengan bersebab? Tidak tercapaikah kita berfikir ke peringkat itu? Atau kita sengaja tidak mahu ke peringkat pemikiran itu? Jadi bila persoalan sebegitu lahir dalam hati atau ditanya oleh seseorang adakah kita mengambil jalan mudah atau sebaliknya? Eh, kau faham tak apa yang aku nyanyikan ini?”

Sekali lagi mereka mengejutkan penghuni kafe.

“Faham, tapi pertanyaan akhir kau itu mengganggu tumpuanku itu.”

“Dan tentu saja mereka disekeliling kita ini juga terganggu dengan kita.”

Sekali lagi mereka ketawa.

“Baik kita pergi sebelum ada yang mengadu.”

“Aku tidak kisah jika yang mengadu itu si kerinting berbaju putih itu…”

“Ah kau ni Kamal…kau tidak henti menakjubkan aku.”

“Wah, ayat yang besar untuk seseorang yang kerdil sepertiku.”

“Dahlah…jom!”

Pastinya, suasana kafe kembali muram selepas mereka berlalu…

Ada Apa Dengan 1 Jun?

Thursday, June 1st, 2006

Salam.

Mataku terbuka di hari yang baru: Dia tiada disisi - seperti selalu - dan aku agak liat memulakan hariku ini - seperti selalu juga.

Disisi meja kafe dengan secawan kopi pahit digengaman jemari tangan kanan dan sebatang rokok yang setia membakar dicelahan jemari tangan kiri, fikiranku melayang silam dan terhenti di hari itu.

"Mengapa aku terjun ke dunia itu?" Hatiku bertanya.

Mengapa tidak? Tersenyum aku dengan jawapan balas, dari hatiku juga.

Hari itu, aku agak liat juga untuk memulakan hariku - ya, seperti biasa dan sememangnya aku dilahirkan begitu agaknya. Semalam, aku terpaksa melalui latihan demi latihan agar hari ini semuanya berjalan lancar. Kalau bertanya kepadaku bagaimana perasaanku terhadap itu semua, mudah; Aku tidak selesa dan semua itu tidak perlu. Aku dilahirkan dengan kesederhanaan dan hidupku selama ini berputar di lembah kesederhanaan walaupun sesekali tergelincir ke gaung kesusahan dan sesekali tercampak ke gunung kemewahan, namun putaran kehidupanku amat selesa sekali dengan lembah kesederhanaan. Aku tidak selesa dan ini semua tidak perlu - itu rasaku dan keliatan aku memulakan hariku begitu kuat sekali dirasakan.

Ada tiga acara hari itu. Padaku, yang paling penting adalah acara yang pertama. "Biarkanlah masa berlalu dengan pantas…," bisik kemahuan diriku.

Masa sememangnya bergerak pantas dan sebelum aku sedar semuanya sudah berlalu dan bermulalah kehidupan perkongsian.

Mengapa aku terjun ke dunia itu?

Senang saja. Semua rasa dan peganganku tiada arti kerana aku hanya seorang insan yang luluh bila berhadapan dengan cinta.

Ada apa ya dengan 1 Jun…

Sambutlah tanganku dan biar kau kupimpin mengharungi masa-masa hadapan. Selamat Hari Ulangtahun Daliey…