Archive for July, 2006

“Hit Counter”

Monday, July 17th, 2006

Berhari juga terfikir tentang "Hit Counter" apabila terbaca buletin si Nell yang bertanya tentangnya. Betullah seperti kata seorang rakan - kalau sering terfikir tentang sesuatu itu, pasti satu hari akan berdepan dengannya. Dalam situasi aku, aku sedang membaca blog Puan Ainon dan terlihat ada "Hit Counter" di situ. Aku "point and right click" untuk melihat dari mana datangnya "Hit Counter" itu. Selanjutnya, sejarah.

Beginilah yang telah aku lakukan:

http://www.tinycounter.com/

"daftar bla bla bla…selepas itu "copy" dan "paste" kod…

Pertama klik "my blog" di Friendster "Home"
klik "edit configuration"
dan "paste" kod kat "blog description/catchphrase.."

Ah, aku dengan benda-benda kecil yang merangsangkan…

Aku dan bahasaku…

Sunday, July 16th, 2006

Hari itu aku telah menghadiri satu majlis pelancaran buku. Ia sebuah buku Inggeris oleh seorang penulis Malaysia. Dan dalam pengucapan para-para pengucap, mereka sungguh mengagungkan bahasa Inggeris itu. Mereka juga menyatakan karya seperti itu menjadi kebanggaan negara - saya pun bangga. Kemudian, mereka menyatakan betapa mereka itu "Malaysian". Tetapi, sepanjang acara itu tidak sepatahpun aku mendengar mereka berbahasa Kebangsaan. Disusuli pula dengan kenapa kita ketinggalan…ya, keterikatan kepada bahasa Kebangsaan itu puncanya.

-ditapis-

Mereka memanggil diri mereka "Malaysians", tetapi mereka tidak berbahasa Malaysia - dan ada yang tidak tahu langsung berbahasa Malaysia.

-Ditapis-

Epilog: Saya angkat kaki pertengahan majlis dan dalam berjalan ke kereta saya teringat orang Jepun, Perancis, Sepanyol, Cina, Korea, India…dan tersenyum memikirkan mereka ini yang mati-mati fikir mereka bangsa Malaysia…ada lagi yang terjajah rupanya…Pak Samad tersenyum menggeleng memikirkan perangai anaknya ini…

Ah aku terlalu emosi dan marah kerana mereka menghina dengan mengecilkan Pak Samad sebenarnya...

Dari Tandy ke Jambatan Silatulrahim…

Sunday, July 16th, 2006

Mengimbas silam, saya tidak dapat lari dari mengingati saat saya menjejak kami ke dalam alam maya - internet. Sebelum itu hampir setengah hidup saya berkisar dengan alam komputer. Selepas SPM, semasa menanti keputusan, entah mengapa sebuah papan kekunci, peti telivisyen dan perakam kaset menarik perhatian. Ini sesuatu yang baru! Dan, saya - dengan sedikit pujuk rayu kepada bapa - mengambil kursus komputer - BASIC - di sebuah pusat pengajian komputer di Bangsar. Dari situ bermulalah hidup saya dalam alam komputer. Untuk pengetahuan, kenalkah anda kepada komputer-komputer berikut:

1. Tandy TRS-80
2. Sinclair ZX-80
3. Apple: II, IIc, IIe, Lisa…
4. And those compatibles yang gunakan "Microprocessor" atau "CPU" Z-80, Motorola 6502 & Intel 8088.

Kebanyakkan anda belum lahir lagi waktu itu agaknya…

Saya mula bekerja selepas itu di Yow Chuan Plaza. Itupun selepas hampir tiap-tiap hari melangut & menyibuk di sebuah kedai komputer - Numeron Computers - dan mungkin kerana itu, tuan punya kedai itu menawarkan pekerjaan dan itu seperti sebuah impian menjadi kenyataan. Selain menjual komputer, saya juga belajar memasangnya. Masa berlalu dan saya berhijrah dari satu syarikat ke satu syarikat yang lain - tentu saja dengan tawaran yang lebih menarik. Akhirnya, berkeyakinan, saya menubuhkan sebuah syarikat menjual komputer dan "network". Masa itu Interl baru memperkenalkan "processor" 486nya. Sekali lagi masa berlalu dan syarikat itu mengembang hingga 1996. Tertipu, saya terpaksa menggulung tikar. Saya tidak sempat tumbang oleh kemelesetan 1997!

Selama dua tahun saya agak "takut" menyentuh komputer hingga ada sebuah kaunter berkotak dengan sebuah komputer dan dipaparkan diatasnya "Internet" yang terletak di bawah eskalator di Subang Parade menarik perhatian. Anda perlu membeli kad prabayar untuk menggunakannya - RM6 satu jam. Dan dalam satu sesi internet di sebuah kafe, saya terjumpa seorang dengan nama samaran "AntuTafe".

Jika tidak silap, pada mulanya kami bertengkar tetapi akhirnya duduk bersama menikmati teh tarek di satu gerai di SS15 Subang Jaya. Bersama, kami lalui banyak cabaran. Saya menyukainya kerana sifatnya yang tegas, degil dan selalunya orang bersifat begini pintar.

Terlalu banyak yang dilalui selama lapan tahun ini. Dia melihat bagaimana hidup saya hampir musnah dan terbina semula dan saya melihat bagaimana dia tercari arah dalam hidupnya dan akhirnya menemui apa yang dicitanya. Dan terkadang kami tersangkak oleh perbalahan, namun akhirnya terserlah nilai sebenar persahabatan itu.

Menoleh silam, saya tersenyum. Trs-80, Sinclair, 6502, 8088 membawa aku ke jalan di mana kita bertemu di satu persimpangan. Banyak yang telah kita lalui dan 22hb ini, akhirnya dia akan mengakhiri zaman bujangnya.

Saya hanya mahu dia mengetahui betapa persahabatannya itu sangat saya hargai dan sanjungi. Saya tidak mampu menggambarkan erti persahabatan selain dari apa yang saya jalin dengannya.

Ini masamu Madd, cuba jangan ulangi kesilapan sahabatmu ini…

Selamat Pengantin Baru Madd & Ateen…hidupmu baru bermula!

Antara Keinginan Dan Tanggungjawab…

Wednesday, July 12th, 2006

Hampir setiap hari saya dihadapkan dengan persoalan yang menekan ini. Mengetahui bagaimana diri ini berfungsi, saya tahu saya cuma mampu melakukan satu perkara dalam satu masa. Dan, selama ini - hampir lima tahun - saya agak terkapai.

    Lima tahun: Menerbitkan tujuh buku, tiga novel, beberapa cerpen dan puisi dan saya masih tidak berpuas hati. Ini bukanlah dari segi pencapaian selama hampir lima tahun itu, tetapi dari segi mutu penghasilan penerbitan buku dan karya-karya sendiri.

    Novel Adik Datang sebenarnya satu malapetaka kalau dilihat dari segi penerbitannya. Ia penuh dengan kecacatan dari segi rekabentuk dan ejaan. Hampir saja Wira Bukit tersungkur dan berkubur. Namun dalam kecelakaan itu, ia mengajar dan saya perlu belajar (dan masih belajar serta diajar) bagaimana proses penerbitan buku itu.

    Dirgahayu Dr. Mahathir sebenarnya adalah usaha 100% Pak Samad, Emilia Yusof, Daliza Dohat dan diri saya. Ia adalah satu percubaan yang berani dari segi kami mempersembahkannya. Pak Samad dengan tuntutan bagaimana harus ia dirupakan, kami sebenarnya agak gembira semasa mengerjakannya walaupun dalam tekanan. Dan dari sinilah sebenarnya bermula pendakian kami dalam menghasilkan buku-buku yang direkabentuk dengan nilai kreatif yang tinggi agar ia sekurangnya hampir atau menyamai karya itu sendiri.

    "Orang Tua Itu" adalah novel saya yang pertama. Ia ditulis dengan penuh tekanan kehidupan. Hari-hari saya dipenuhi dengan tanda-tanda "-" dan saya banyak berhalunasi. Tidak, saya tidak mengambil dadah atau apa-apa ubatan yang membuat saya berhalunasi. Juga bukan, saya tidak gila - walaupun waktu itu saya sebenarnya yakin saya ini gila. Saya berhalunasi kerana itulah saja waktunya dapat saya rasai kegembiraan. Ya benar, saya berhalunasi perkara-perkara yang indah kerana pada waktu itu sekeliling saya dirasai sangat negatif.

    Novel ini mengisahkan tentang diri saya sendiri sebenarnya dan apa yang saya lalui dan rasai. Dan inilah novel yang paling susah sekali untuk dihasilkan kerana pada waktu itu (masih sebenarnya hingga kini) apa yang berkitar dalam kepala hampir keseluruhannya dalam bahasa Inggeris dan saya yang entah mengapa begitu keras kepala mahu menghasilkan sesuatu dalam bahasa ibunda. Prosesnya melalui satu perjalanan masa yang lama dan pahit. Sehingga kini saya masih tidak berpuas hati dan saya kira novel ini tidak akan diterbitkan langsung dalam hayat saya ini. Hemingway sudah tiada. Tunggulah sehingga saya tiada, baru boleh baca perbualan saya dengannya di kafe di Subang Jaya!

bersambung…