Archive for August, 2006

Pengantin Lelaki Itu Se Ekor Anjing…?

Monday, August 14th, 2006

Saya pernah bercerita tentang minat saya membaca yang tercondong ke arah penulis-penulis Jepun. Saya masih condong ke arah itu dan pagi tadi sebaik terjaga, pandangan pertama adalah pada "Coin Locker Babies", sebuah karya Ryu Murakami yang berada di lantai tepi katil saya.

"Mengapa ya?" hati berbisik, tetapi urat-urat kepala masih santai dan saya bukanlah seorang yang mampu sangat berfikiran jauh dan "serious"  sebelum kafeina dan nikotina menyusuri mengejut urat-urat yang sedang bersantai itu.Olympus1_099

Berfikiran jauh dan "serious"? Saya senyum dan tergeleng. Setelah Nescafe & beberapa batang rokok, nampaknya ini hanyalah satu persoalan yang remeh. Tidak mudah, tetapi remeh. Saya memandang sudut saya itu dan sekali lagi tersenyum dan tergeleng. Pemikiran saya begitu, seperti buku-buku yang berselerak itu. Terlalu banyak yang mahu saya lakukan dalam masa yang sesingkat ini. Ia seperti lebuhraya di Seremban setiap hari minggu - sesak! Dan buku-buku ini seakan  memberi sedikit ruang bernafas.

Tetapi mengapa buku-buku Jepun? Saya kira penceritaan tentang kehidupan mereka itu menarik perhatian saya. Karya-karya seperti Ryu dan Haruki Murakami, Hitomi Kanehara, Yoko Tawada, Masahiko Shimada, Kyoji Kobayashi entah mengapa begitu mengikat - kecuali Kazuo Ishiguro yang karyanya "Never Let Me Go" sudah 4 bulan tidak habis saya baca.

Olympus1_100
"Monkey Brain Sushi", "69", "Coin Locker Babies", "Sputnik Sweetheart", "The Bridegroom Was A Dog", "Miso Soup", "Almost Transparent Blue", "Snakes & Earring" - maksud saya, tujuk-tajuk mereka ini pelik tapi menarik. Dengan jalan cerita yang mudah dan gaya penulisan yang "santai" (walaupun dialih bahasa) mereka ini membawa kisah masyarakat Jepun yang tidak terfikir oleh saya sebelum ini - "cult" (kultus?).

Namun, buku-buku ini tidaklah murah - kecuali karya-karya Haruki Murakami dan Hitomi Kanehara yang boleh dibeli sekitar RM32 ke atas, yang lain agak mahal - sekitar RM60-RM100. Ini mungkin kerana ia terpaksa diimport dan setahu saya dijual di Kinokuniya sahaja - tingkat 2 dalam Isetan.

Kalau diperhati, pasti nampak bahawa buku-buku Pak Hamka juga saya baca. Mengapa? Itu persoalanOlympus1_101
yang aneh…lain kali sajalah saya cuba kupas - persoalan aneh perlu nikotina + kafeina + suasana yang sesuai.

Isteri saya sudah faham benar perangai "menyepahkan" saya ini dan sudut ini satu kawasan yang dia tak "kacau"…

* Saya baca komik & buku Pak Habib juga.

** Rambut yang gugur juga saya biarkan di sudut ini.

*** Tajuk adalah translasi "The Bridegroom Was A Dog"…betulkah?

Rahmat Harun

Sunday, August 13th, 2006

P7130005Semalam saya berjumpa dengan Rahmat dalam satu acara di MPH Mid-Valley. Seperti biasa, dia masih begitu, tidak berubah dengan rambutnya masih "reggae" - kusut dan berbau. Seperti biasa juga, dia tidak henti menakjubkan saya dengan pengetahuannya. Saya boleh duduk dengannya, sekotak rokok - perlu nikotin untuk melembutkan urat kepala - dan kami boleh bercakap tentang apa saja di bawah langit. Rahmat ini salah seorang insan yang rupanya tidak sekata dengan apa yang ada dalamnya - jika sekali imbas dan tidak mengenalinya - dan saya pasti ramai yang fikir dia tidak siuman. Terkadang hati ini nakal mahu saja mengoyakkan wajahnya dan melihat apa sebenarnya yang ada dalam dirinya itu kerana terkadang saya kategorikan diri saya tidak siuman juga. Namun, saya tahu jika berhierarki, dia di atas saya dan saya tidak mampu terinjak ke atas lagi kerana keadaan tidak membenarkan.

Dari Poe ke Machiavelli ke Freemason dan IMF, dia tidak henti mencabar fikiran saya. Niat sebenar saya hadir adalah untuk melihat perubahan pada dirinya. Saya pasti, satu hari kelak dia akan berubah, berevolusi…lagi.

Seorang yang berhaluan kiri dan terlibat dengan demonstrasi jalanan kini Rahmat lebih "sopan" dalam pendiriannya. Saya melihat dia beralih ke seorang insan yang lebih berfikiran dalam menafsirkan kehidupan. Dia lebih "senyap" dan lebih berhati-hati dalam tindak-tanduknya. Ini terbukti apabila dia membaca puisi-puisinya pada acaraP7130009 yang di adakan. Saya kecewa. Dia seakan mengawal dirinya.

Semasa duduk bersama menikmati minuman di Dome, saya bertanya mengapa? "Suasana" jawabnya. Sekarang, sejak bila Rahmat memikirkan tentang suasana? Dia senyum. Saya lebih menafsirkan kejadian itu sebagai dirinya itu telah sampai ke satu paras yang lain. Mungkin usia mempengaruhi. Mungkin lantai dan dinding balai-balai polis yang amat di kenalinya tidak lagi mampu merangsang pemikirannya. Mungkin saja dia begitu kerana baru bangun tidur. Tetapi, Rahmat yang saya kenali adalah seorang insan yang begitu dalam pemikirannya, begitu luas pengetahuannya dan dia tidak segan meluahkannya secara zahir - bertindak! Pendiriannya teguh kerana dia tidak begitu menghiraukan "luaran" dan tapak tangannya sentiasa sejuk dan berpeluh…sejuk dan berpeluh?
P7130011_1 Ingat nama ini, Rahmat Harun…satu hari kelak saya percaya kehadirannya dalam dunia seni kreatif mencetus impak yang besar - itupun jika dia tidak dipesongkan oleh revolusi yang sentiasa lahir dalam jiwanya.

Mengapa tapak tangannya sejuk dan berpeluh? Entahlah, mungkin sesetengah perkara sememangnya tidak berubah…   

Sedikit Rahmat di: rahmat1 dan rahmat2

Mengapa Wira Bukit?

Friday, August 11th, 2006

Berkali sudah saya menyatakan bahawa kehadiran Wira Bukit dalam dunia penerbitan adalah untuk memelihara karya-karya Pak Samad. Itu saja. Dan berkali juga ditanya samada Wira Bukit ditubuhkan untuk "mengajar" pihak tertentu (ya, DBP, siapa lagi?) Tidak kurang juga ada yang merumuskan Pak Samad tidak puas hati - dengan siapa lagi? - lantas terlahirlah Wira Bukit. Mungkin ada kebenaran kerana jika Pak Samad tidak "merajuk" (entah berapa kali!) dengan DBP, pastinya Pak Samad selesa dan Wira Bukit tidak mungkin lahir.

Saya tidak mahu menyalahkan DBP dalam perkara ini. Malah, saya harus berterima-kasih kepada mereka. Apa yang terjadi antara Pak Samad dan DBP adalah sejarah. Dan saya bukannya seorang yang "menyimpan" sesuatu perasaan yang negatif. Lagipun bagaimana bisa kami "mengajar" jika kami masih belajar?

Penubuhan Wira Bukit adalah khusus memelihara karya-karya Pak Samad. Ini dilakukan dengan memberi nafas baru dari segi rekabentuk dan material yang digunakan dalam penghasilan karya-karya lama dan terkini. Dari segi rekabentuk, Pak Samad, saya dan Emila akan "memecah kepala" memberi ide masing-masing dalam proses menerbitkan sesuatu karya itu. Kami juga sering - sebenarnya Pak Samad dan saya - "bertekak" dalam perkara ini. Dia mahukan "begini", saya mahukan "begitu" dan Emila sabar menanti keputusan dan tidak kurang juga tekun berulang kali menghasilkan beberapa rekabentuk dan "mock-up" agar ide-ide kami itu dapat dilihat, dirasa dan dihadam.

Kami juga "membuang duit" dengan membeli buku-buku yang rekabentuknya menarik dan unik. Ini perlu. Buku-buku sastera Melayu kalau diletak bersebelahan dengan buku-buku sastera asing "kalah teruk" dari segi rekabentuk dan material yang digunakan. Kami melihat, membelek dengan jari-jemari merasa buku-buku tersebut dan lahirlah ide kasar bagaimana buku-buku terbitan seterusnya harus dizahirkan. Dalam proses penerbitan sesuatu buku, bab rekabentuk inilah selalunya memakan masa yang lama. Pada saya, karya-karya sudah tersedia, Pak Samad itu dengan sendirinya adalah jenama kami. Dia ikon dan dikenali ramai. Apa yang penting adalah bagaimana kita menzahirkan karya itu.


Rekabentuk penting dan jika ini diatasi, usaha menjual buku itu menjadi mudah sedikit. Ditambah dengan perancangan dan strategi yang baik, kami mampu "membersihkan" dalam 1,000 hingga 2,000 naskah dalam masa kurang 6 bulan. Ini terbukti dengan Lantai T. Pinkie yang terjual sebanyak 1,200 naskah dalam masa 2 bulan! Harus diingat, waktu itu buku Lantai T. Pinkie terbitan DBP tiba-tiba "terlambak" di pasaran dan kami terpaksa bersaing dengan harga jualan kami yang 2 kali ganda lebih mahal! Saya rumuskan ini terjadi kerana kami "lebih" memberi tumpuan kepada rekabentuk, material yang digunakan dan juga pemasaran. Siapa kata buku sastera Melayu tidak boleh "jual"? Perlu saya bercerita tentang "Rindu Ibu" yang akan dicetak untuk kali ke 4 dalam masa kurang 2 tahun? Perlu saya bercerita bahawa Wira Bukit adalah "2 man show" yang dibantu seorang pereka - yang dianugerahi bakat kreatif tinggi - dan pencetak - Harian Zulfadzli - yang tidak jemu melayani karenah kami? Perlu saya bercerita tentang sokongan pengedar kami - PTS - yang memahami, memberi kerjasama baik dan berjuang meletakkan buku-buku bahasa Melayu atas rak-rak kedai buku serta jualan melalui internet serta penat lelah sdri Nisah Haron dan suaminya sdra Shukri yang rajin menjelajah serata Malaysia melalui syarikat mereka - Ujana Ilmu?

Pasaran buku sastera Melayu itu sesuatu yang belum terukur. Mungkin saja tidak setanding padang buku-buku cinta remaja, kanak-kanak dan motivasi yang kini semakin kita ketahui agak besar dan menguntungkan. Tapi, siapa tahu? Mungkin saja ia setanding atau lebih besar? Apa yang saya tahu, ia tidaklah seburuk apa yang kita diberitahu. Mungkin cerita buku sastera Melayu tidak laku itu satu alasan mudah mencari jalan pintas setiap kali disoal mengapa ia amat susah dijual. Dan apabila ini berlaku berulang hingga berabad lamanya menjadilah ia satu mitos.

Kita perlu bekerjasama. Kehadiran Wira Bukit bukan satu masalah pada yang lain. Kita perlu bersaing dan pesaingan itu penting untuk tidak melekakan. Kita tidak boleh berpuas hati dengan apa yang ada. Kita perlu meneroka dan membuka minda. Musuh kita adalah diri kita sendiri…

Mengapa Wira Bukit? Mudah, memelihara karya-karya Pak Samad. Itu saja.

*DBP sangat penting bagi saya. Mereka seakan "guru" dan
"abang-abang" saya. Tidak mungkin dan tidak akan saya merendahkan atau
memperlekehkan mereka.

** www.tongkatwarrant.com - www.emilayusof.com - www.ujanailmu.com.my - www.pts.com.my - http://ainonmohd.blogspot.com/ - http://annyss.blogspot.com/ - www.wirabukit.com

Kematian…

Thursday, August 10th, 2006

Aku ingin berbicara tentang kematian…

Bisa saja aku teruskan, tetapi rasa seperti berbicara sendirian. Lebih baik bernoktah kini dan mungkin dalam mimpi-mimpi, kita bisa teruskan. Aku harap ada yang mengerti…

Rasa seperti semalam…

Wednesday, August 9th, 2006

Semalam, seorang sahabat telah pergi. Lahir ke dunia yang sempit ini, memasuki alam luas. Janjinya ditepati dan aku tak mampu mengelak dari memikirkan tentangnya…

Apabila Hani Mohsen pergi secara mengejut, aku seakan terkejut. Aku tergamam. Fikiranku bercelaru. Hatiku berkecamuk. Walaupun aku tidak begitu mengenalinya, kecuali terserempak dua tiga kali di majlis-majlis, tetapi impaknya agak mendalam. Kali terakhir bertemu semasa dia menjadi "MC" majlis pelancaran buku terbaru Pak Samad di Arkib Negara tahun lalu. Kami bersalaman, senyum dan itu saja. Sehingga aku mencatatkan apa yang terkisar dalam diri ini , aku masih tercari-cari saat itu - cuba menggambarkan dengan jelas saat-saat pertemuan itu, namun tidak banyak yang dapat aku bayangkan walaupun entah mengapa, dia begitu dominan dalam kepalaku kini.

Aku juga masih ingat, keadaan anaknya semasa di hospital..aku terbayang akan Firdaus…entah mengapa juga…

Dan, semalam, aku ditarik masuk dalam ingatan beberapa tahun yang lalu di Mid-Valley, semasa aku berjumpa dengan sdr. Mohd Yusof dan keluarganya sambil aku menyampaikan beberapa buku sebagai hadiah…

Pakcikku, Dr. Ismail pun hadir…ibu mertua bapaku ada kini…nenek isteriku…anak sahabat karibku…Datuk Rashid…Datuk Said…satu per satu muncul…dan aku mengingati mereka-mereka yang telah berhijrah ini…

Apa maksudnya semua ini? Aku tidak tahu…tapi, yang pasti suatu hari nanti, bila sampai masanya, janjinya, kita semua akan pergi, berhijrah, ke satu alam yang telah dijanjikan…aku takut, bukan kerana apa yang ada di depan itu, tetapi akan apa yang akan dikumpulkan di belakang ini…cukupkah?

Al-Fatihah buat sdrku Mohd Yusof dan mereka yang kini hadir satu persatu dalam ingatanku. Semoga mereka berada dikalangan mereka yang beruntung…amin.

Aku yang terseliuh…

Saturday, August 5th, 2006

Sudah hampir 2 bulan aku memikirkan tentangnya. "Orang Tua Itu" rasanya terlalu peribadi dan buat masa ini aku tidak mampu mengolahnya. Mengapa? Hidupku kini berlainan sekali berbanding dengan waktu aku mula menulisnya. Aku "kehilangan" rasa itu. Aku kehilangan cara aku menulisnya. "Orang Tua Itu" ditulis waktu aku begitu kritikal. Hidup begitu tertekan. Sekelilingku negatif dan aku benar-benar seperti telur di hujung tanduk. Dan, kerana itulah setiap kali aku mencuba, siling, langit, pokok, burung, kenderaan dan apa saja yang ada di sekeliling menjadi perhatian - mencari "rasa" itu, mencari sesuatu yang mungkin aku hilang selamanya.

"Kau & Aku 1, 2 & 3" tercondong kearah "chic-lit". Waktu itu aku seakan dibuai oleh Tony Parsons, Nick Hornby dan Yann Martell. Siri "Kau & Aku" ini terlalu ringan dan "predictable" - dalam penilaian aku. Berkali sudah aku mengolah, namun semakin diolah semakin aku rasa bosan dan batinku tahu, karya sebegini hayatnya tidak panjang dan itu sesuatu yang harus dielakkan.

"SSN"…dalam semua karya-karya yang ada, aku rasa "SSN" mempunyai peluang yang terbaik untukku "merasmikan" kehadiranku dalam dunia penulisan kreatif ini. Namun, hingga kini aku tidak mampu "mengikat"nya. Ada sesuatu yang "kurang", atau mungkin saja ada sesuatu itu terlebih dan perlu dikurangkan.

Aku tidak suka menulis tentang sesuatu yang terlalu berat kerana aku bukannya seorang yang berfikiran berat. Pada aku hidup ini terlalu singkat kerana masa kita terlalu dipenuhi oleh perkara-perkara yang remeh. Pada aku kita - tanpa sengaja, mungkin - "memberatkan" hidup kita sendiri. Dan, kini aku cuba "mempermudahkan" hidupku dan dengan sendirinya itu mempengaruhi penulisanku.

Dan dalam blog, pada aku hanyalah taman di mana aku meleraikan rambutku dan menulis apa saja yang aku rasai, tanpa ada halangan, tanpa ada paksaan. Boleh dikatakan blog ini taman di mana aku bermain dan bereksperimen.

Jadinya, antara "Orang Tua Itu", "Kau Dan Aku" dan "SSN", aku rasa Secebis Syurga & Neraka paling cerah harapannya untuk diterbitkan, mungkin tahun hadapan. Doakan urat-urat kepalaku tidak terseliuh agar dapat aku "mengikat" karyaku ini.

Ah Mak Ni!!!

Thursday, August 3rd, 2006

Pagi itu redup. Dia mendongak mencari mentari, namun hanya awan-awan kelabu mewarnai langit. "Nak hujan…," hatinya berkata dan dia meneruskan langkahannya menuju ke kereta. Sesekali terasa nyaman angin yang berlalu menyelimuti seketika diri yang sedikit peluh itu. Langkahannya dicepatkan. Dia terbayang dan impikan penyaman udara keretanya itu.
    "Jalil!…Jalil!"
    Terhenti, dia menoleh mencari…
    "Jalil!"
    "Aaa ya?" sebaik pandangannya mengenal pemanggil. Makcik Nah yang tinggal bersebelahan unit kondonya kelihatan berlari-lari anak kearahnya. Dia tersenyum.
    "Boleh makcik tumpang?" agak termengah.
    "Oh boleh. Makcik Nah nak ke mana?" sambil beriringan berjalan menuju ke keretanya.
    "Kl," masih termengah dan terkadang terpaksa berlari anak.
    Dia sedar langkahannya terlalu pantas buat Makcik Nah, "Kl besar makcik," sambil cuba memperlahankan langkahannya. "Kl kat mana makcik?"
    "Errrr…errrr," menarik-narik selendangnya yang terlayang-layang tertiup angin. "Errrr…kat mana tu…alaaaa makcik lupa pulaaa.."
    Dia terhenti seketika.
    "Kau ni jalan cepat sangat!"
    Senyum, "Maaf Makcik Nah."
    "Haaaaaa…makcik nak pergi Astro!"
    "Astro?" Aku terkejut.
    "Haaa cepatlah! Apa kau tercegat tu?"
    Tersentak, dia sedar Makcik Nah di hadapan. Dia melangkah semula dan bertanya sebaik seiringan dengan Makcik Nah, "Buat apa pergi Astro?" sambil menyeluk saku seluarnya mencari kunci kereta.
    "Makcik nak beli tiket."
    "Tiket apa makcik?"
    "AF. Esok final. Takut habis nanti!"
    "Haaaa?" terhenti.
    Makcik Nah seakan terkejut dan berhenti juga. "Ha, kenapa kau Jalil?"
    "Makcik nak pergi Astro beli tiket AF? Makcik nak pergi tengok konsert AF?"
    "Ha ya lah. Kenapa?"
    "Tiket jual kat Astro ke?"
    "Ya lah…kat mana lagi? Eh apa kau tercegat tu Jalil. Cepatlah! Nanti habis pula tiket tu!"
    Menggeleng, dia tersenyum. Sebaik sampai di keretanya, tangannya meraba-raba kocek seluarnya. "Alamakkkkkkk…"
    "Ha kenapa Jalil?"
    "Errrr…saya tertinggal kunci kereta!"
    Pagi itu sepanjang perjalanan dia dileteri Makcik Nah tentang orang-orang muda zaman kini yang terlalu terkejar banyak perkara sehingga tercicir beberapa perkara yang lain. Pagi yang kelam itu membawa pelbagai rasa bagi dirinya. Terkadang mahu saja dia berhenti kereta dan mencekik Makcik Nah. Namun, apa yang mampu dilakukannya hanyalah membayangkan adengan itu. Dalam umur menjangkau 60an itu, tenaga Makcik Nah bercakap memang mengalahkan mereka yang sepertiga umurnya. Sesekali dia menyampuk bertanya. Sesekali dia senyum. Sesekali dia ketawa. Tetapi, banyak kali dia mahu saja memberhentikan keretanya. Namun, mengenangkan Alia, dia pendamkan saja niatnya itu.
    Beberapa hari selepas itu, dia mendapat tahu Makcik Nah tidak dapat tiket. Dia tersenyum nakal. Entah mengapa dia rasa puas. "Padan muka!" kata hatinya.
    "Assalamualaikum!" sebaik dia membuka pintu setelah mendengar loceng pintunya berbunyi.
    "Wa’alaikumsalam. Oh makcik Nah…sila masuk."
    "Tak apalah. Ni makcik nak cepat."
    "Makcik nak pergi tengok AF ke?"
    "Hishhhhh ko ni. Hari tu kau hantar aku kat tempat salah. Dorang kata mana ada jual tiket kat sana."
    "Manalah saya tahu makcik. Lagipun makcik yang suruh…"
    "Eh dah, dah macam orang tua berleterlah kau ni Jalil. Ni makcik nak bagi kad jemputan ni."
    "Kad jemputan?"
    "A’ah. Ni si Alia nak nikah bulan depan!"
    "Haaaa?"
    Waktu itu aku terdengar sesuatu membisik, "Padan muka!"

*Dedikasi kepada mak - Walaupun anakmu ini tidak suka AF, namun saya pasti mak tidak peduli…dan bila terfikirkan dia gembira, saya senyum, saya kalah dan ini satu kekalahan yang saya terima dengan hati yang senang.