Archive for September, 2006

Biarkan aku…

Sunday, September 10th, 2006

Saya masih belum bangun dari dunia Redang. Sebenarnya saya enggan bangun. Tetapi setelah "bercuti" hampir lebih seminggu, dunia realiti (dunia ciptaan manusia) menggigit dan tersedar beberapa perkara:

1. Ansuran kereta
2. Servis Penting Kereta - 80,000km
3. Insuran dan Cukai Jalan Kereta
4. Yuran Semester Firdaus
5. Ramadhan dan Syawal

Melihat dompet, kocek, bawah bantal dan tilam, bawah kerusi kereta (saya terkadang menyimpan duit di tempat pelik) dan di bank, saya kira nombor 4 dalam senarai itu yang perlu saya usahakan.

Saya boleh "sorokkan" kereta dan sekaligus boleh lupakan seketika ansuran, servis, insuran dan cukai jalan (ah, macam tak biasa buat pula!). Lagipun semasa Ramadhan, aktiviti Pak Samad tidak banyak, kecuali menghadiri majlis-majlis berbuka puasa.

Dengan beberapa "projek" sedang berjalan, saya pasti (insyaAllah) Ramadhan itu sesuatu yang ranum dan Syawal itu manis rasanya.

Saya tidak mahu bangun dari dunia Redang, tetapi gigitan realiti kehidupan terlalu sakit saya rasai. Ini adalah salah satu hari Isnin yang "payah" sekali buat saya. Menyelak diari, berikut aktiviti minggu ini:

1. 13-14 Kangar Perlis
2. 15-17 Ipoh - Lantai T. Pinkie

Meter kereta 78900. Perjalanan pergi dan balik saya jangka dalam 1,200km. Agaknya (harapan!) penjualan buku-buku di LTP memberangsangkan.

Harapan Isnin depan:

1. Yuran semester Firdaus (kalau tidak maknyalah kena bayar…hehehe)
2. Servis kereta
3. Ansuran kereta
4. Insuran dan cukai jalan.

Ini memerlukan jualan buku melebihi 100 naskah dalam masa 3 hari…ah realiti benar menelanku semula…

Mencari Santiago Di Redang

Saturday, September 9th, 2006

Saya tidak bertemu Santiago di Redang. Namun, suasananya itu berdikit tersuluh bak terbitnyaR17
matahari hingga saya kerap terhayal dan saya menjumpai diri saya sendiri.

Ada sesuatu tentang laut. Isinya jika tersuluh cahaya memberi definasi sebenar erti warna itu. Dan saya sedar juga dasar dan isinya itu lebih berwarna. Dengan kegarangan warna-warnanya dari isinya itulah yang menghayalkan saya.

R33
Suasana laut dan pantai itu mempengaruhi. Saya terlupa erti keindahan itu sehingga saya terlihat jaluran warna biru yang menandakan sempadan kedalaman laut itu beserta dengan terbitnya sang suria yang berdikit mencorak-corakkan warna alam.

R21
Di Redang, saya merasai udara yang disedut. Saya menutup mata dan tergetar urat-urat tubuh yang membangkitkan rasa yang telah lama terlupa.

Inilah keindahan "sebenar" ciptaan yang Maha Esa. Sudah terlalu lama saya diracuni keindahan ciptaan manusia dan saya perlu kembali.R20

Saya tidak bertemu Santiago di Redang. Sebaliknya, saya bertemu diri saya sendiri…

*Santiago - The Old Man & The Sea.

Saturday, September 2nd, 2006

Semalam saya dikejutkan dengan berita kematian seorang yang saya kenali. Kami pernah bersama dalam era 70an sewaktu keluarga kami sering bertemu. Sebaik terdengar beritanya yang dibunuh kejam, saya agak tergamam dan fikiran menyelak silam mencari bab-bab di mana kami pernah bersama.

Sewaktu mengikuti berita di TV3 pada sebelah malamnya, wajahnya langsung tidak saya kenali. Malah abang, ibu dan bapanya juga tidak begitu saya kenali. Memang terlalu lama sudah kami tidak bertemu. Saya kira hampir 30 tahun! namun, saya masih terkenang waktu-waktu kami bersama. Dia, abangnya dan saya sering "bermain" bersama bila keluarga kami bertemu. Kami dalam dunia kami sendiri sehingga tiba waktu untuk berpisah. Dan kali ini "perpisahan" itu termenterai setelah tergantung lama.

Saya tidak dapat meleraikan kekusutan di kepala - mengapa manusia begitu kejam. Bila nafsu mengatasi akal kita tercampak ke alam yang tercemar. Dan kita tergeleng tidak mempercayai manusia boleh melakukan perkara-perkara yang tidak terfikir selama ini - sekurangnya dalam masyarakat kita ini.

Selamat tinggal sahabatku…

Al-Fatihah buat Allahyarham Shahman Nasution - semoga dicucuri rahmat dan tergolong dalam mereka yang beruntung.