Ramadhan

Ramadhan

 

Sebaik meletakkan cawan kopi di meja, dia mengeluarkan buku nota dari dalam beg galasnya,
menguak sedikit kerusi, duduk, mencapai pen di kocek bajunya dan mula memandang
langit yang biru petang itu.

Langit yang
kebiruan itu seakan memukau. Dia terlayang. Sepanjang ingatannya, Ramadhan
bukanlah sesuatu yang dinantikannya.
Dan ingatannya itu tidaklah jauh sangat; lebih kurang bila semuanya bermula.
Semuanya itu bermula apabila Ramadhan hadir dua tahun yang lalu dan itulah
sejauh mana kemampuannya mengingati apabila Ramadhan hadir dan ia bukanlah
sesuatu yang dinantikannya.

             Ia
bukan mengenai makan, minum atau merokok. Ia tidak pernah mengenai perkara
yang sebegini. Aku sudah biasa makan
sekali sehari, malah sudah menjadi tabiatku untuk makan sekali sehari, andai
melebihi, itu adalah satu hari yang agak mewah padaku. Rokok yang dikatakan
mencuri dua mungkin tiga minit nyawaku ini juga tidaklah begitu memberi
masalah. Ia tidak mengenai perkara sebegini setiap kali Ramadhan hadir. Tidak
pernah.

Perasaan yang
melanda menyatakan ada sesuatu yang tidak kena pada diri ini. Dia terasa
kehilangan. Tidak, dia amat merasai kehilangan. Dia rasa kekosongan itu.
Kehilangan, kekosongan…kesepian. Dan kesepian itu setia benar bermaharajalela
apabila tiba Ramadhan. Setiap kali Ramadhan hadir, dia mula merenung dirinya
sendiri. Mencari dan cuba-cuba mahu meyakinkan diri. Bertanya, mengapa dirinya
begitu? Merasai dan menguasai sekali dirinya itu. Dia merasakan dirinya itu
seorang insan yang sensitif, terlalu!

Namun ia tidaklah
seburuk yang disangkanya – dia sedar,
setiap kali pertimbangannya normal. Dia tahu dia begitu kerana perasaannya yang
nakal mengusik-usik saja. Tetapi, dia merasakan, itu seakan satu sumpahan
baginya kerana setiap kali Ramadhan
hadir, dia jadi begitu. Merasai Ramadhan itu dan kerana itu dia rasa
begitu. Ramadhan adalah satu bulan yang
ingin dielaknya – walaupun dia tahu, ia
sesuatu yang mustahil. Dia disumpah! Ia nemesisnya! Jauh mendap dalam hatinya,
dia tahu, itu haknya …dia harus menghadapinya walaupun hatinya itu amat berat
sekali mahu menerima.

            Hari
itu cuaca mendung. Dia duduk bersandar disisi tiang katil merenung udara yang
seakan melakarkan sesuatu. Mungkin saja dia dapat melihat angin yang agak
lembut beralun berlalu. Mungkin juga dia sedang berkhayal memikirkan tentang
sesuatu. Namun, dia seakan mengetahui, apa jua yang direnung atau fikirkannya
itu bukanlah sesuatu yang ringan dan indah. Wajahnya itu menyatakan segalanya –
ia sesuatu yang berat, mungkin meyakiti atau mungkin saja hidupnya tiada warna.

            Berkali
Jamal berulang-alik masuk dan keluar bilik melihat dia masih begitu. Jamal
kebiasaan agak sibuk di hari sebegitu – hari isteri cuti – dengan memasak dan
buat apa yang patut untuk berbuka puasa. Ingin dia bertanya, tetapi dia tidak
mahu pertanyaannya itu menjadi satu perbualan yang akan terpaksa dirinya
hentikan berulang kerana dia masih belum selesai dengan tugasannya. Lagipun
mesin basuh itu akan selesai membasuh – buat kali ketiga dan terakhir –
sebentar lagi dan dia harus pula menjemur apa yang dibasuhnya itu. Tapi, dia
bertekad, setelah semuanya selesai, dia akan duduk disisi isterinya itu dan
bertanya. Dia seakan tahu, itu kemahuan isterinya itu. Dan dia juga seakan
tahu, isterinya itu juga berfikiran sepertinya; tidak mahu perbualan itu
terganggu oleh kerja yang sedan di lakukannya itu.

             Sudah
tiga Ramadhan hadir semenjak hari itu. Sering lahir rasa penyesalan kerana Dia
melakukan apa yang dilakukannya hari itu – duduk dan bertanya kepada isterinya
itu. Satu kesilapan besar – itu yang dirasakannya. Dia tidak harus bertanya.
Mungkin lebih baik andai hari itu dibiarkannya berlalu begitu saja. Siapa tahu,
mungkin keesokan hari hati isterinya itu tidak seperti hari itu. Siapa tahu?
Mungkin juga apa yang dia anjurkan pada isterinya itu memerangkap dirinya
sendiri. Dia memerangkap dirinya sendiri! Apa lagi yang lebih buruk dari
seorang lelaki yang memerangkap dirinya sendiri? Menggeleng perlahan…dia tidak
mahu memikirkan tentangnya – dia tidak mahu menerima bahawa dialah yang menanam
dirinya sendiri dari lubang yang galinya sendiri.

             Infiniti…itulah
yang rasakannya. Dia sering merasa begitu. Infiniti.

            Dia kehilangan semuanya pada Ramadhan dua tahun yang lalu. Mungkin
tidak kesemuanya, tetapi sekurangnya itulah yang dirasaikannya pada waktu itu.
Tiada yang lebih buruk dari itu, sekurangnya itulah yang dirasai – pada waktu itu. Dia mengetahui dan
melihat perkara sebegini berlaku di sekelilingnya, tetapi tidak pula mengerti
mengapa ia boleh melanda dirinya dan sering bertanya pada entah siapa, “Kenapa
aku dalam berjuta yang lain?” Hidupnya penuh dengan persoalan yang tidak mampu
dijelaskannya. Persoalan yang tidak henti menyerang hati yang entah dari mana
datangnya. Mungkin itulah yang dikatakan krisis pertengahan kehidupan – krisis
yang mencetuskan seribu persoalan tanpa undangan dan sekeliling melihatnya
seperti seorang yang kehilangan arah dan sesekali dia juga merasakan dirinya
itu begitu – kehilangan akal. Lantas dia sering bersendirian. Melihat udara
yang seakan melakarkan sesuatu untuknya. Begitu sepanjang waktu hingga dia
tersedar, dia sebenarnya bukan sendirian. Dalam masa begitu, dia berdepan
dengan seseorang. Yang termendap dalam hatinya itu semakin berani kerana tidak
henti bertanya seakan menuntut penjelasan. Bertanya tanpa jemu dan walau apapun
jawapan yang diluah atau terluah, dia
tahu ia tidak menepati kerana selepas itu yang mendap itu tidak lagi mendap.
Terulang pertanyaan itu dan ini. Perjalanan hidupnya menjadi songsang. Siang
itu malam baginya. Apa yang benar itu kini salah dan dirinya itu hilang
pertimbangan. Dan seperti yang telah diperkatakan, waktu sebegitu, dua tahun
yang lalu, dia sedar, dirinya tidak keseorangan kerana dirinya sendiri mula
menyoal dirinya sendiri. Mungkin dia terlalu terpesong akan erti kehidupan itu
dan tidak mempercayai apa yang menimpa dirinya itu satu kenyataan. Bagaimana
sesuatu yang teguh itu begitu rapuh? Dirinya berkata, “Apa yang kamu rasai dan
lihat itu tidak menyatakan segalanya. Aku tahu kerana waktu sebegini dua tahun
yang lalu aku melaluinya. Dan setelah beribu batu aku berjalan – selama dua
tahun itu – aku merasakan hidup ini terlalu berat buatku. Aku rasa diriku
ditipu. Masakan tidak, aku hanya menemui persimpangan yang sama setelah begitu
lama berjalan mencari pengertian dari apa yang melanda. Dan kini, aku
dipersimpangan yang sama apabila aku bermula dua tahun yang lalu. Apakah
semuanya ini?”

            Hari ini Syawal hadir.
Takbir berkumandang dari semalam entah dari mana – mungkin televisyen, mungkin
ada yang bertakbir melalui depan rumahnya atau mungkin itu hanya satu khayalan. Dia memandang
sekeliling, dalam biliknya itu – tiada siapa. Anaknya tiada. Bekas isterinya
menjemput anaknya semalam. Semalaman tidurnya resah walaupun penuh terisi dengan
rasa kekosongan sehinggakan dia sendiri tidak pasti samada dirinya itu tidur
atau hanya berkhayal. Tidurnya kerap terganggu oleh entah apa kerana dia kerap
tersedar dan setiap kali begitu, dia merasai kekosongan yang menyelubungi
dirinya itu. “Mungkinkah perasaan kekosongan mampu mengganggu tidurku?” dia
tergeleng perlahan. Dia terpaksa menelan apa dirasai setiap kali tersedar –
“Aku keseorangan di rumah ini dan takbir itu tidak henti seakan jarum-jarum
menusuk-nusuk jiwaku ini.”

            Dia tidak mengerti mengapa
di hari itu dirasainya begitu. “Bukankah ia satu hari di mana kita harus
bergembira? Mengapa aku berduka? Tidak…mengapa aku diletakkan dalam keadaan
begini di hari yang sepatutnya kita gembira merayakan?” Jiwanya memberontak,
menyatakan betapa dirinya itu tertekan, resah dan amat tidak berpuas hati terhadap ini semua. Dirinya dirasakan
tidak diadili seadilnya. “ Tidak cukupkah dengan apa yang telah aku lalui
sebelum ini? Mengapa aku?” Agak
lama duduk termenung…di dalam masjid
itu walaupun khutbah telah lama selesai. Akhirnya dia tersedar, tidak ramai
yang ada. Dia juga sedar, pipinya basah. Dia merasa…hatinya itu diserang
jarum-jarum. Tidak dia tahu mengapa dia. Tidak dia tahu adakah wajar dirinya diletakkan dalam keadaan itu.
“Adakah aku berhak atas segala ini?”

            Itu pertama kali dia menyambut Syawal keseorangan dalam hidupnya. Ya,
pertama kali dalam hidupnya itu. Keseorangan di rumah, duduk di meja melihat
kuih-kuih raya di dalam bekas yang tersusun ditengah meja sambil memakan
ketupat dan rendang yang ditinggalkan sedikit oleh ibunya yang pergi ke
Singapura bersama keseluruhan ahli keluarganya kecuali anaknya yang ada bersama
bekas isterinya di rumah bekas emak mertuanya. “Mereka di sana dan aku di sini.
Keseorangan…”.

            Melihat budak-budak yang berlalu-lalang berkumpulan memberi salam di rumah-rumah
berdekatan, dia yang berada di bilik sengaja menutup rapat pintu dan tingkap
rumah. Sesekali mengintai dari celahan tingkap bilik. Dia tidak mahu melayan
mereka. Dia rasa dia tidak mampu melayan mereka. Biarlah dirinya begitu.
Keseorangan dan cuba merayakan hari itu sebagaimana yang mahu dia rayakan.

            Kini dia diletakkan kembali dalam situasi yang dia alami setahun yang
lalu. Ramadhan kembali dan segala yang dilaluinya pada Ramadhan yang lepas kembali menghantui. “Mengapa ia
hadir semula dengan begitu cepat sekali?” Semakin tua Ramadhan itu, semakin
terasa hirisan di hati melebar. Dia takut menghadapi hari itu. Hari di mana dia
duduk sendirian di masjid, menunaikan sunat Aidilfitri, bertakbir, mendengar
khutbah dan…

            Jamal tidak tahu bagaimana akan dia hadapi semua itu lagi. Dirinya
hampir kehilangan segalanya Ramadhan yang lalu dan keadaan masih begitu pada
Ramadhan yang ini. Syawal itu adalah klimaks pada perasaannya. Ia benar sesuatu
yang mendukakan. Walaupun hidupnya kini amat berlainan. Dia telah atasi
kelukaan berpisah itu dan kini dirinya sudah ada pengganti. Namun dia tahu,
Syawal ini, dia akan keseorangan lagi…

            Dalam
kehidupan ini, kita tidak terlepas dari dugaan. Aku mula memikirkan tentangnya -  mungkin kerana kesempitan yang dilalui. Dan aku sedari, setiap kali aku bernafas, diri ini dikurniakan dengan
dua perkara: Rezeki dan dugaan. Mungkin ada yang menyangkal, tapi itulah yang
aku rasai sekurang pada waktu ini – ya, di Ramadhan ini. Tuhan itu Maha
Berkuasa. Setiap kurniaannya pada kita pasti ada lawannya. Itu sifat kita –
kita sebenarnya tiada jika tiada sifat berlawanan itu. Ia bukan tentang kau dan
aku. Ia tentang aku dan aku dan kau dan kau. Aku yang ini dipandangan insan dan
aku yang itu pada bisikan hati insan-insan itu – wujudlah aku ini, begitu juga
sama dengan kau.

            Ramadhan
ini, aku sedar yang aku sebenarnya berhadapan dengan diriku sendiri. Hatiku ini
banyak berkata, tapi kali ini dia berkata tanpa dibuai bisikan. Segala yang aku
rasai adalah aku yang sebenarnya. Baikku adalah aku dan jahatku adalah aku…yang
sebenarnya. Itulah kelebihan bulan ini. Tuhan memberi kita peluang untuk kita
menilai siapa kita ini sebenarnya kerana di bulan ini, si pembisik itu tiada.
Niat ini, rasa ini dan perbuatan ini adalah aku. Imanku jelas kelihatan dan aku
agak sedih, masih terlalu banyak yang perlu aku lakukan dalam masa yang
agak suntuk ini.

            Ramadhan
ini, aku berezeki kerana diberi peluang melihat tahap keimananku sejelas aku
berdiri dihadapan cermin dengan pelbagai dugaan yang hadir. Maha Suci Allah
yang Maha Mengasihani memberi kurniaan ini kerana sekali lagi memberiku peluang
memperbaiki apa yang perlu dibaiki sebelum aku hadir sebagai Pengasih padanya
dan bukan sebagai Pengkhianat. Di Ramadhan ini, aku ini adalah sebenarnya aku
dan aku berdoa agar hatiku ini tidak dinodai…oleh diriku sendiri. Ahhh, aku
benar rasa diri ini kecil, sekecil kuman yang tidak mungkin dapat aku lihat
dengan mata kasarku. Sekarang andai aku sekecil kuman, masakan aku dapat
melihatnya? Innalillah…

Jamal menutup buku
notanya. Diselitkan pen di saku bajunya. Memandang langit yang jingga, “Esok
lusa Ramadhan…,” hatinya berkata dan dia mengangguk perlahan dalam suasana yang aman.

*Antologi Cerpen - "Jamal"

Leave a Reply