Terima kasih…

Saya kira Ramadhan kali ini tidak banyaknya bezanya dengan yang lalu - masa agak lapang dan saya perlu tercari-cari cara mengisinya agar tidak rugi.

Projek buku kerjasama dengan DBP dalam peringkat akhir. Saya hanya perlu tunggu buku siap dicetak, menghantarnya ke Dawama untuk diedarkan dan (ini dugaan) menanti bayaran dari DBP.

Pada awalnya, DBP mahu mencetak antologi cerpen "Dosa Pejuang" sebagai Edisi Khas Sasterawan Negara yang akan diedarkan ke sekolah-sekolah. Bersama dengan karya-karya terpilih (dan tentunya dari penerbitan DBP) lapan Sasterawan Negara yang lain, pihak DBP mahu menggunakan dana yang tersedia ada. Perancangan mereka terhalang sedikit kerana Pak Samad menolak. Pak Samad menyuarakan rasa lukanya kerana DBP tidak memaklumkan penerbitan "Dosa Pejuang" yang tiba-tiba didapatinya sudah berada di rak-rak kedai buku dan yang anehnya beberapa bulan selepas itu baru kontrak sampai untuk ditandatangani.

("Dosa Pejuang" yang terdapat di pasaran sebenarnya sehingga kini kontraknya tidak ditandatangani dan TIDAK AKAN ditandatangani oleh Pak Samad. PaK Samad cuma mengutuskan sepucuk surat menyatakan rasa hati dan pendiriannya bersama kontrak yang tidak ditandatanganinya. Namun, dalam surat tersebut, Pak Samad  membenarkan juga penerbitan itu (dengan beberapa syarat) atas sifat  setiakawan.)

Selepas beberapa pertemuan, akhirnya mereka bersetuju dengan saranan kami: "Rindu Ibu". Buku yang pada mulanya dipersetujui jumlah cetakannya sebanyak 5,000 naskah akhirnya terpaksa dikurangkan kepada 2,700 naskah - kerana dana tidak mencukupi.

Ini menimbulkan sedikit masalah kerana harga yang kami sebutkan (dan dipersetujui DBP) adalah berdasarkan kepada sebutharga pencetak (yang memberi sebutharga berdasarkan 5,000 naskah).

Bagaimana?

Mudah sebenarnya. Rezeki jalan ditolak. Musuh jangan dicari….

Rinduibu3

Ini untuk Edisi Khas Sasterawan Negara.

Cover_edisisantai

Dan ini untuk kami - Edisi Santai - yang akan dijual di pasaran dalam lingkungan harga antara RM12-15 (perlu lakukan perkiraan semula kos).

Itu jalan penyelesaian yang saya ambil. Cetak 5,000 naskah - 2,700 untuk DBP dan 2,300 untuk Wira Bukit. Bezanya cuma kulit. Isi sama. Kos cetak kekal seperti yang telah disebutkan pencetak. Tidak perlu saya menyusahkan DBP dan sakit kepala dengan kos tambahan jika dicetak hanya 2,700 naskah.

Kini, saya ada masa untuk masak (ya, saya boleh memasak), membaca, menulis, mencari peluang-peluang perniagaan dan seperti Ramadhan yang lalu, membaca terjemahan Al-Quran serta menambah - semampu dengan izinNya - bekalan masa hadapan.

Saya perlu bersyukur…

*Kelak saya ceritakan tentang resipi-resipi masakan saya…hehehe.

Salam.

Leave a Reply