Firdaus…
Saya ke Subang Jaya selepas terawih tadi kerana:
Dia telefon.
Namanya terpapar di skrin telefon bimbit. Saya tidak jawab. Saya tahu,
dia "tembak". Dua deringan saja. Saya menelefonnya…
"Bapak…kat mana?"
"Rumah…"
"Bapak terawih kat mana?"
"Di rumah saja…"
"Tak keluar ke?"
"Dude, awak dah takde duit ya?"
Saya terdengar dia ketawa…
Di Subang Jaya…
"Mesin basuh dah rosaklah Helmi," kata mak.
Saya terlontar ke silam! Mesin basuh Singer
itu umurnya lebih panjang dari perkahwinan pertama saya! Kini dari segi
material saya kira sudah tiada apa lagi yang mengaitkan saya
dengannya…senyum, sejarah…
Dia 18 dan sedang menuntut di
Unitar dalam bidang pengurusan. Terlontar lagi ke silam…sewaktu dia
hampir setiap hari menjerit menangis di tadika…sewaktu saya mengadap
guru besar kerana dia terlibat dengan pergaduhan di sekolah…sewaktu
dia dua kali bertukar sekolah kerana krisis rumahtangga…sewaktu di
tingkatan 4 & 5 buku repotnya penuh dengan merah (kecuali BM &
BI)…
"Rilek la bapak…I’ll be fine…," katanya.
Saya
mahu mempercayainya waktu itu, tetapi tidak termampu…namun, dia tidak
henti memeranjatkan saya. Dia lulus SPM dengan agak cemerlang.
Permohonan
ke UITM dua kali ditolak dan sewaktu saya sedang bersiap mahu berjumpa
dengan seorang rakan - pensyarah UITM - yang mengetahui, menelefon saya
dan mahu membantu…
"Bapak…tak payahlah. Nanti ada yang lebih berhak tak dapat belajar kerana saya…"
Ah, saya terajar olehnya…
"Bapak!"
Saya yang sedang membuka pintu kereta menoleh…
"Lupa ke?"
"Lupa apa?"
Dia senyum sambil mengangkat tangan kanan dengan jari telunjuk menggosok-gosok jari ibunya.
"Oh…," senyum, tangan meraba kocek dan memberi wang saku mingguannya.
"Bapak, sedar tak mesin basuh tu dah 15 tahun?"
Saya tersenyum…antara Kau dan Aku, telah banyak yang kita lalui bukan?
*Firdaus tinggal di Subang Jaya kerana menjaga neneknya dan lebih mudah untuknya ke Unitar Kelana Jaya. "Kau & Aku" sebuah novel perjalanan kami suatu waktu dahulu…