Aku perlu…

September 24th, 2006 by helmysamad

Ramadhan ini aku perlu:

- tidak berbelanja ikut nafsu (terutama bila ke pasar Ramadhan):
    - Tiada baju raya baru - gunakan yang lalu
- berhenti makan sebelum kenyang
- gandakan bekalan akhirat:
    - beribadah
    - bersedekah
- kurang bercakap - tambah ilmu
- potong rambut - lagi
- selesaikan OTI
- menjalin dan menyuburkan silatulrahim

Itu yang disemat dengan harapan yang "molek" itu sebati dalam jiwa…

Ramadhan

September 21st, 2006 by helmysamad

Ramadhan

 

Sebaik meletakkan cawan kopi di meja, dia mengeluarkan buku nota dari dalam beg galasnya,
menguak sedikit kerusi, duduk, mencapai pen di kocek bajunya dan mula memandang
langit yang biru petang itu.

Langit yang
kebiruan itu seakan memukau. Dia terlayang. Sepanjang ingatannya, Ramadhan
bukanlah sesuatu yang dinantikannya.
Dan ingatannya itu tidaklah jauh sangat; lebih kurang bila semuanya bermula.
Semuanya itu bermula apabila Ramadhan hadir dua tahun yang lalu dan itulah
sejauh mana kemampuannya mengingati apabila Ramadhan hadir dan ia bukanlah
sesuatu yang dinantikannya.

             Ia
bukan mengenai makan, minum atau merokok. Ia tidak pernah mengenai perkara
yang sebegini. Aku sudah biasa makan
sekali sehari, malah sudah menjadi tabiatku untuk makan sekali sehari, andai
melebihi, itu adalah satu hari yang agak mewah padaku. Rokok yang dikatakan
mencuri dua mungkin tiga minit nyawaku ini juga tidaklah begitu memberi
masalah. Ia tidak mengenai perkara sebegini setiap kali Ramadhan hadir. Tidak
pernah.

Perasaan yang
melanda menyatakan ada sesuatu yang tidak kena pada diri ini. Dia terasa
kehilangan. Tidak, dia amat merasai kehilangan. Dia rasa kekosongan itu.
Kehilangan, kekosongan…kesepian. Dan kesepian itu setia benar bermaharajalela
apabila tiba Ramadhan. Setiap kali Ramadhan hadir, dia mula merenung dirinya
sendiri. Mencari dan cuba-cuba mahu meyakinkan diri. Bertanya, mengapa dirinya
begitu? Merasai dan menguasai sekali dirinya itu. Dia merasakan dirinya itu
seorang insan yang sensitif, terlalu!

Namun ia tidaklah
seburuk yang disangkanya – dia sedar,
setiap kali pertimbangannya normal. Dia tahu dia begitu kerana perasaannya yang
nakal mengusik-usik saja. Tetapi, dia merasakan, itu seakan satu sumpahan
baginya kerana setiap kali Ramadhan
hadir, dia jadi begitu. Merasai Ramadhan itu dan kerana itu dia rasa
begitu. Ramadhan adalah satu bulan yang
ingin dielaknya – walaupun dia tahu, ia
sesuatu yang mustahil. Dia disumpah! Ia nemesisnya! Jauh mendap dalam hatinya,
dia tahu, itu haknya …dia harus menghadapinya walaupun hatinya itu amat berat
sekali mahu menerima.

            Hari
itu cuaca mendung. Dia duduk bersandar disisi tiang katil merenung udara yang
seakan melakarkan sesuatu. Mungkin saja dia dapat melihat angin yang agak
lembut beralun berlalu. Mungkin juga dia sedang berkhayal memikirkan tentang
sesuatu. Namun, dia seakan mengetahui, apa jua yang direnung atau fikirkannya
itu bukanlah sesuatu yang ringan dan indah. Wajahnya itu menyatakan segalanya –
ia sesuatu yang berat, mungkin meyakiti atau mungkin saja hidupnya tiada warna.

            Berkali
Jamal berulang-alik masuk dan keluar bilik melihat dia masih begitu. Jamal
kebiasaan agak sibuk di hari sebegitu – hari isteri cuti – dengan memasak dan
buat apa yang patut untuk berbuka puasa. Ingin dia bertanya, tetapi dia tidak
mahu pertanyaannya itu menjadi satu perbualan yang akan terpaksa dirinya
hentikan berulang kerana dia masih belum selesai dengan tugasannya. Lagipun
mesin basuh itu akan selesai membasuh – buat kali ketiga dan terakhir –
sebentar lagi dan dia harus pula menjemur apa yang dibasuhnya itu. Tapi, dia
bertekad, setelah semuanya selesai, dia akan duduk disisi isterinya itu dan
bertanya. Dia seakan tahu, itu kemahuan isterinya itu. Dan dia juga seakan
tahu, isterinya itu juga berfikiran sepertinya; tidak mahu perbualan itu
terganggu oleh kerja yang sedan di lakukannya itu.

             Sudah
tiga Ramadhan hadir semenjak hari itu. Sering lahir rasa penyesalan kerana Dia
melakukan apa yang dilakukannya hari itu – duduk dan bertanya kepada isterinya
itu. Satu kesilapan besar – itu yang dirasakannya. Dia tidak harus bertanya.
Mungkin lebih baik andai hari itu dibiarkannya berlalu begitu saja. Siapa tahu,
mungkin keesokan hari hati isterinya itu tidak seperti hari itu. Siapa tahu?
Mungkin juga apa yang dia anjurkan pada isterinya itu memerangkap dirinya
sendiri. Dia memerangkap dirinya sendiri! Apa lagi yang lebih buruk dari
seorang lelaki yang memerangkap dirinya sendiri? Menggeleng perlahan…dia tidak
mahu memikirkan tentangnya – dia tidak mahu menerima bahawa dialah yang menanam
dirinya sendiri dari lubang yang galinya sendiri.

             Infiniti…itulah
yang rasakannya. Dia sering merasa begitu. Infiniti.

            Dia kehilangan semuanya pada Ramadhan dua tahun yang lalu. Mungkin
tidak kesemuanya, tetapi sekurangnya itulah yang dirasaikannya pada waktu itu.
Tiada yang lebih buruk dari itu, sekurangnya itulah yang dirasai – pada waktu itu. Dia mengetahui dan
melihat perkara sebegini berlaku di sekelilingnya, tetapi tidak pula mengerti
mengapa ia boleh melanda dirinya dan sering bertanya pada entah siapa, “Kenapa
aku dalam berjuta yang lain?” Hidupnya penuh dengan persoalan yang tidak mampu
dijelaskannya. Persoalan yang tidak henti menyerang hati yang entah dari mana
datangnya. Mungkin itulah yang dikatakan krisis pertengahan kehidupan – krisis
yang mencetuskan seribu persoalan tanpa undangan dan sekeliling melihatnya
seperti seorang yang kehilangan arah dan sesekali dia juga merasakan dirinya
itu begitu – kehilangan akal. Lantas dia sering bersendirian. Melihat udara
yang seakan melakarkan sesuatu untuknya. Begitu sepanjang waktu hingga dia
tersedar, dia sebenarnya bukan sendirian. Dalam masa begitu, dia berdepan
dengan seseorang. Yang termendap dalam hatinya itu semakin berani kerana tidak
henti bertanya seakan menuntut penjelasan. Bertanya tanpa jemu dan walau apapun
jawapan yang diluah atau terluah, dia
tahu ia tidak menepati kerana selepas itu yang mendap itu tidak lagi mendap.
Terulang pertanyaan itu dan ini. Perjalanan hidupnya menjadi songsang. Siang
itu malam baginya. Apa yang benar itu kini salah dan dirinya itu hilang
pertimbangan. Dan seperti yang telah diperkatakan, waktu sebegitu, dua tahun
yang lalu, dia sedar, dirinya tidak keseorangan kerana dirinya sendiri mula
menyoal dirinya sendiri. Mungkin dia terlalu terpesong akan erti kehidupan itu
dan tidak mempercayai apa yang menimpa dirinya itu satu kenyataan. Bagaimana
sesuatu yang teguh itu begitu rapuh? Dirinya berkata, “Apa yang kamu rasai dan
lihat itu tidak menyatakan segalanya. Aku tahu kerana waktu sebegini dua tahun
yang lalu aku melaluinya. Dan setelah beribu batu aku berjalan – selama dua
tahun itu – aku merasakan hidup ini terlalu berat buatku. Aku rasa diriku
ditipu. Masakan tidak, aku hanya menemui persimpangan yang sama setelah begitu
lama berjalan mencari pengertian dari apa yang melanda. Dan kini, aku
dipersimpangan yang sama apabila aku bermula dua tahun yang lalu. Apakah
semuanya ini?”

            Hari ini Syawal hadir.
Takbir berkumandang dari semalam entah dari mana – mungkin televisyen, mungkin
ada yang bertakbir melalui depan rumahnya atau mungkin itu hanya satu khayalan. Dia memandang
sekeliling, dalam biliknya itu – tiada siapa. Anaknya tiada. Bekas isterinya
menjemput anaknya semalam. Semalaman tidurnya resah walaupun penuh terisi dengan
rasa kekosongan sehinggakan dia sendiri tidak pasti samada dirinya itu tidur
atau hanya berkhayal. Tidurnya kerap terganggu oleh entah apa kerana dia kerap
tersedar dan setiap kali begitu, dia merasai kekosongan yang menyelubungi
dirinya itu. “Mungkinkah perasaan kekosongan mampu mengganggu tidurku?” dia
tergeleng perlahan. Dia terpaksa menelan apa dirasai setiap kali tersedar –
“Aku keseorangan di rumah ini dan takbir itu tidak henti seakan jarum-jarum
menusuk-nusuk jiwaku ini.”

            Dia tidak mengerti mengapa
di hari itu dirasainya begitu. “Bukankah ia satu hari di mana kita harus
bergembira? Mengapa aku berduka? Tidak…mengapa aku diletakkan dalam keadaan
begini di hari yang sepatutnya kita gembira merayakan?” Jiwanya memberontak,
menyatakan betapa dirinya itu tertekan, resah dan amat tidak berpuas hati terhadap ini semua. Dirinya dirasakan
tidak diadili seadilnya. “ Tidak cukupkah dengan apa yang telah aku lalui
sebelum ini? Mengapa aku?” Agak
lama duduk termenung…di dalam masjid
itu walaupun khutbah telah lama selesai. Akhirnya dia tersedar, tidak ramai
yang ada. Dia juga sedar, pipinya basah. Dia merasa…hatinya itu diserang
jarum-jarum. Tidak dia tahu mengapa dia. Tidak dia tahu adakah wajar dirinya diletakkan dalam keadaan itu.
“Adakah aku berhak atas segala ini?”

            Itu pertama kali dia menyambut Syawal keseorangan dalam hidupnya. Ya,
pertama kali dalam hidupnya itu. Keseorangan di rumah, duduk di meja melihat
kuih-kuih raya di dalam bekas yang tersusun ditengah meja sambil memakan
ketupat dan rendang yang ditinggalkan sedikit oleh ibunya yang pergi ke
Singapura bersama keseluruhan ahli keluarganya kecuali anaknya yang ada bersama
bekas isterinya di rumah bekas emak mertuanya. “Mereka di sana dan aku di sini.
Keseorangan…”.

            Melihat budak-budak yang berlalu-lalang berkumpulan memberi salam di rumah-rumah
berdekatan, dia yang berada di bilik sengaja menutup rapat pintu dan tingkap
rumah. Sesekali mengintai dari celahan tingkap bilik. Dia tidak mahu melayan
mereka. Dia rasa dia tidak mampu melayan mereka. Biarlah dirinya begitu.
Keseorangan dan cuba merayakan hari itu sebagaimana yang mahu dia rayakan.

            Kini dia diletakkan kembali dalam situasi yang dia alami setahun yang
lalu. Ramadhan kembali dan segala yang dilaluinya pada Ramadhan yang lepas kembali menghantui. “Mengapa ia
hadir semula dengan begitu cepat sekali?” Semakin tua Ramadhan itu, semakin
terasa hirisan di hati melebar. Dia takut menghadapi hari itu. Hari di mana dia
duduk sendirian di masjid, menunaikan sunat Aidilfitri, bertakbir, mendengar
khutbah dan…

            Jamal tidak tahu bagaimana akan dia hadapi semua itu lagi. Dirinya
hampir kehilangan segalanya Ramadhan yang lalu dan keadaan masih begitu pada
Ramadhan yang ini. Syawal itu adalah klimaks pada perasaannya. Ia benar sesuatu
yang mendukakan. Walaupun hidupnya kini amat berlainan. Dia telah atasi
kelukaan berpisah itu dan kini dirinya sudah ada pengganti. Namun dia tahu,
Syawal ini, dia akan keseorangan lagi…

            Dalam
kehidupan ini, kita tidak terlepas dari dugaan. Aku mula memikirkan tentangnya -  mungkin kerana kesempitan yang dilalui. Dan aku sedari, setiap kali aku bernafas, diri ini dikurniakan dengan
dua perkara: Rezeki dan dugaan. Mungkin ada yang menyangkal, tapi itulah yang
aku rasai sekurang pada waktu ini – ya, di Ramadhan ini. Tuhan itu Maha
Berkuasa. Setiap kurniaannya pada kita pasti ada lawannya. Itu sifat kita –
kita sebenarnya tiada jika tiada sifat berlawanan itu. Ia bukan tentang kau dan
aku. Ia tentang aku dan aku dan kau dan kau. Aku yang ini dipandangan insan dan
aku yang itu pada bisikan hati insan-insan itu – wujudlah aku ini, begitu juga
sama dengan kau.

            Ramadhan
ini, aku sedar yang aku sebenarnya berhadapan dengan diriku sendiri. Hatiku ini
banyak berkata, tapi kali ini dia berkata tanpa dibuai bisikan. Segala yang aku
rasai adalah aku yang sebenarnya. Baikku adalah aku dan jahatku adalah aku…yang
sebenarnya. Itulah kelebihan bulan ini. Tuhan memberi kita peluang untuk kita
menilai siapa kita ini sebenarnya kerana di bulan ini, si pembisik itu tiada.
Niat ini, rasa ini dan perbuatan ini adalah aku. Imanku jelas kelihatan dan aku
agak sedih, masih terlalu banyak yang perlu aku lakukan dalam masa yang
agak suntuk ini.

            Ramadhan
ini, aku berezeki kerana diberi peluang melihat tahap keimananku sejelas aku
berdiri dihadapan cermin dengan pelbagai dugaan yang hadir. Maha Suci Allah
yang Maha Mengasihani memberi kurniaan ini kerana sekali lagi memberiku peluang
memperbaiki apa yang perlu dibaiki sebelum aku hadir sebagai Pengasih padanya
dan bukan sebagai Pengkhianat. Di Ramadhan ini, aku ini adalah sebenarnya aku
dan aku berdoa agar hatiku ini tidak dinodai…oleh diriku sendiri. Ahhh, aku
benar rasa diri ini kecil, sekecil kuman yang tidak mungkin dapat aku lihat
dengan mata kasarku. Sekarang andai aku sekecil kuman, masakan aku dapat
melihatnya? Innalillah…

Jamal menutup buku
notanya. Diselitkan pen di saku bajunya. Memandang langit yang jingga, “Esok
lusa Ramadhan…,” hatinya berkata dan dia mengangguk perlahan dalam suasana yang aman.

*Antologi Cerpen - "Jamal"

CSRO

September 16th, 2006 by helmysamad

Membaca "Cinta Sangkuriang Rindu Oedipus" adalah satu kesilapan - buat diri saya. Dalam saya "ralek" merenda OTI, CSRO muncul dan keralekan itu seperti belon yang ditusuk pin.

Kembara ke utara mahu saya isikan dengan menebas "lalang-lalang" serta semak OTI dan Nisah Haron perlu menghadiahkan sebuah buku terbitan sulung syarikatnya (Ujana Ilmu) dan itu benar merangut niat awal saya itu.

Namun, saya berterima kasih kepadanya dan NYA kerana pustaka ilmu itu bertambah.

OTI harus bersabar dan disabarkan dan kini fikiran saya "nakal" melakar situasi Sangkuriang dan Oedipus berhadapan dalam sebuah gelanggang di atas sebuah gunung dengan tangan masing-masing menggenggam sebilah lading…ah indahnya akal yang dibiarkan melewati batasan kewarasan.

Antologi cerpen Nisah Haron - Cinta Sangkuriang Rindu Oedipus - boleh dimiliki (dan dicabar membaca serta memahaminya) di www.ujanailmu.com.my.

Ok…Pinkie dan Nyai memerlukan saya kini..salam.

Mencari Wahah…

September 10th, 2006 by helmysamad

Sabtu lalu Pak Samad dan saya bertemu Lina di sebuah kafe di Subang Parade. Lina tidak segan minta bimbingan dan nasihat dan kami amat selesa dengannya kerana menganggapnya sebahagian dari keluarga kami.

Dia dalam kesulitan - sesuatu yang sebenarnya telah dijangka oleh kami. Dia patut berada dalam kesulitan. Setiap perniagaan seharusnya berintangan. Ia bukan tentang bagaimana perniagaan itu berjalan. Ia tentang bagaimana anda menjalankan perniagaan itu. Daya tahan dan kepercayaan itu penting. Saya tahu, empat tahun saya di "padang pasir" mencari wahah.

Sebuah syarikat penerbitan perlu ada koleksi buku-buku yang diterbitkannya. Penerbitan yang pertama seakan kita mencapai puncak pendakian dan mendapati ada lagi puncak yang perlu didaki. Dengan peralatan yang terhad, kepercayaan itu memainkan peranan agar kita tidak berputus asa.

Dan dalam perjalanan kita itu, sesekali terdengar suara-suara sumbang yang entah mengapa mencemuh usaha yang baik ini.

Saya terkilan dengan "Orang Besar" di DBP ini sebenarnya. Semenjak dilantik, sudah dua kali saya terasa dicemuh. Nasib juga pengalaman lalu mengajar dan saya menolaknya ketepi. Dia "terlupa" agaknya peranan dan tanggungjawabnya di DBP serta erti dan nilai persahabatan yang terjalin antara dia, arwah dan Pak Samad.

Kepada Kak Lina, saya harap bersabarnya. Inilah masanya untuk kita belajar tentang kehidupan - siapa kawan ketawa dan siapa (bukan lawan) kawan setia. Mana realiti dan mana halusinasi. Kak Lina perlu bersabar dan ini akan  membina jatidiri untuk kita berjaya.

Seperti yang saya katakan, apa yang kau fikirkan tidak penting bagiku…jangan biarkan suara sumbang itu menyumbang…

Sukan…

September 10th, 2006 by helmysamad

Dia menelefon saya hari itu! Perak bertemu Perlis! Bla bla bla…saya hanya mengiyakan hingga saya rasa dia sendiri bosan dengan bla bla blanya itu. Selepas beberapa purnama saya "aman" darinya, dia, entah mengapa rasa perlu menghubungi. Mungkin dia rasa yakin - terlalu agaknya. Mungkin malam sebelumnya dia bermimpi didatangi seorang tua yang rambut, misai dan janggutnya putih panjang mengurai memakai jersi Perak, topi Liverpool dan menaiki kereta Ferrari. Saya faham mengapa dia terlalu ghairah. Isterinya mungkin mengenali sukan dengan congkak, konda-kondi, bolajaring dan artis-artis AF berlumba dalam guni di sukan hari keluarga Astro.

Minggunya mungkin terubat sedikit dengan kemenangan Ferrari (MS umumkan persaraannya dalam dunia F1 akhir musim ini) setelah Perak bungkus dan Liverpool berkhayal memikirkan mereka masih gergasi dan sedang bermain dalam era 70-80an.

Sehingga saat ini, saya masih menanti kalau-kalau dia sudi menelefon atau sms saya, tetapi itu sebenarnya satu "angan-angan". Saya tahu, dia muram, tetapi saya harap dia sekurangnya tahu siapa pengurus pasukan sokongannya itu kini…

Kemuncak minggu sukan saya:

1. Perlis melangkah ke Final
2. Arsenal seri
3. Liverpool kalah 0-3 kepada Everton
4. ManU menang 1-0 dan bertahta di EPL
5. MS & Ferrari menang
6. MS umumkan persaraannya
7. Kimi Raikonen menggantikan MS musim hadapan
6. Sharapova juarai Terbuka US

Biarkan saya menikmati rasa "aman" minggu ini…   

Biarkan aku…

September 10th, 2006 by helmysamad

Saya masih belum bangun dari dunia Redang. Sebenarnya saya enggan bangun. Tetapi setelah "bercuti" hampir lebih seminggu, dunia realiti (dunia ciptaan manusia) menggigit dan tersedar beberapa perkara:

1. Ansuran kereta
2. Servis Penting Kereta - 80,000km
3. Insuran dan Cukai Jalan Kereta
4. Yuran Semester Firdaus
5. Ramadhan dan Syawal

Melihat dompet, kocek, bawah bantal dan tilam, bawah kerusi kereta (saya terkadang menyimpan duit di tempat pelik) dan di bank, saya kira nombor 4 dalam senarai itu yang perlu saya usahakan.

Saya boleh "sorokkan" kereta dan sekaligus boleh lupakan seketika ansuran, servis, insuran dan cukai jalan (ah, macam tak biasa buat pula!). Lagipun semasa Ramadhan, aktiviti Pak Samad tidak banyak, kecuali menghadiri majlis-majlis berbuka puasa.

Dengan beberapa "projek" sedang berjalan, saya pasti (insyaAllah) Ramadhan itu sesuatu yang ranum dan Syawal itu manis rasanya.

Saya tidak mahu bangun dari dunia Redang, tetapi gigitan realiti kehidupan terlalu sakit saya rasai. Ini adalah salah satu hari Isnin yang "payah" sekali buat saya. Menyelak diari, berikut aktiviti minggu ini:

1. 13-14 Kangar Perlis
2. 15-17 Ipoh - Lantai T. Pinkie

Meter kereta 78900. Perjalanan pergi dan balik saya jangka dalam 1,200km. Agaknya (harapan!) penjualan buku-buku di LTP memberangsangkan.

Harapan Isnin depan:

1. Yuran semester Firdaus (kalau tidak maknyalah kena bayar…hehehe)
2. Servis kereta
3. Ansuran kereta
4. Insuran dan cukai jalan.

Ini memerlukan jualan buku melebihi 100 naskah dalam masa 3 hari…ah realiti benar menelanku semula…

Mencari Santiago Di Redang

September 9th, 2006 by helmysamad

Saya tidak bertemu Santiago di Redang. Namun, suasananya itu berdikit tersuluh bak terbitnyaR17
matahari hingga saya kerap terhayal dan saya menjumpai diri saya sendiri.

Ada sesuatu tentang laut. Isinya jika tersuluh cahaya memberi definasi sebenar erti warna itu. Dan saya sedar juga dasar dan isinya itu lebih berwarna. Dengan kegarangan warna-warnanya dari isinya itulah yang menghayalkan saya.

R33
Suasana laut dan pantai itu mempengaruhi. Saya terlupa erti keindahan itu sehingga saya terlihat jaluran warna biru yang menandakan sempadan kedalaman laut itu beserta dengan terbitnya sang suria yang berdikit mencorak-corakkan warna alam.

R21
Di Redang, saya merasai udara yang disedut. Saya menutup mata dan tergetar urat-urat tubuh yang membangkitkan rasa yang telah lama terlupa.

Inilah keindahan "sebenar" ciptaan yang Maha Esa. Sudah terlalu lama saya diracuni keindahan ciptaan manusia dan saya perlu kembali.R20

Saya tidak bertemu Santiago di Redang. Sebaliknya, saya bertemu diri saya sendiri…

*Santiago - The Old Man & The Sea.

September 2nd, 2006 by helmysamad

Semalam saya dikejutkan dengan berita kematian seorang yang saya kenali. Kami pernah bersama dalam era 70an sewaktu keluarga kami sering bertemu. Sebaik terdengar beritanya yang dibunuh kejam, saya agak tergamam dan fikiran menyelak silam mencari bab-bab di mana kami pernah bersama.

Sewaktu mengikuti berita di TV3 pada sebelah malamnya, wajahnya langsung tidak saya kenali. Malah abang, ibu dan bapanya juga tidak begitu saya kenali. Memang terlalu lama sudah kami tidak bertemu. Saya kira hampir 30 tahun! namun, saya masih terkenang waktu-waktu kami bersama. Dia, abangnya dan saya sering "bermain" bersama bila keluarga kami bertemu. Kami dalam dunia kami sendiri sehingga tiba waktu untuk berpisah. Dan kali ini "perpisahan" itu termenterai setelah tergantung lama.

Saya tidak dapat meleraikan kekusutan di kepala - mengapa manusia begitu kejam. Bila nafsu mengatasi akal kita tercampak ke alam yang tercemar. Dan kita tergeleng tidak mempercayai manusia boleh melakukan perkara-perkara yang tidak terfikir selama ini - sekurangnya dalam masyarakat kita ini.

Selamat tinggal sahabatku…

Al-Fatihah buat Allahyarham Shahman Nasution - semoga dicucuri rahmat dan tergolong dalam mereka yang beruntung.

Celupar…

August 30th, 2006 by helmysamad

Saya pernah celupar dengan kenyataan, "Saya tidak menulis untuk menang dan andai karya saya memenangi apa-apa hadiah, akan saya tolak (dengan berbudi bahasa tentunya!)." Ini berlaku pada satu temuramah dengan akhbar Berita Harian beberapa tahun yang lalu dan sekaligus ada menimbulkan sedikit keresahan atau mungkin salah tafsiran akan kata hati saya waktu itu. Reaksi dari temuramah itu ada yang bising mempersoalkan bagaimana saya mendapat publisiti sedangkan karya-karya saya yang diterbitkan di media cetak boleh dibilang dengan jari (dari satu tangan dan anda pilih sendiri dari tangan belah mana).

Saya berhenti menghantar karya saya ke media cetak selepas itu.

Saya tidak mengerti mengapa perlu ada suara-suara yang sumbang (pada pendengaran dan pemahaman saya) itu dan sehingga kini walaupun sudah beribu kali memikirkan tentangnya, saya masih tidak mampu menghadam.

Sebenarnya, keceluparan saya itu adalah reaksi - saya terdengar beberapa rakan penulis yang berbincang tentang apa dan bagaimana perlu mereka berkarya untuk berpeluang memenangi hadiah dalam satu peraduan. Tidak, saya tidak sama sekali fikir itu menyalahi. Saya maklum dunia penulisan sastera Melayu sesuatu yang kompleks sehingga kompleksitinya mampu mengkomplikasikan minda pembaca dan kerana itu agaknya usaha yang dilakukan - menulis - tidak seimbang dengan hasilnya. Seorang anak kecil di satu belah dan seorang dewasa di belah berlawanan semasa menaiki jongkang-jongket, anda pasti tahu yang mana satu usaha dan yang mana satu hasil jika bercakap tentang sastera Melayu. Jadi, saya faham mengapa hadiah itu penting. Mana tahan makan ikan kering setiap hari? Sesekali hendak juga merasai daging atau ikan terubuk.

Saya faham juga memenangi sesebuah hadiah itu satu pengiktirafan akan kualiti sesebuah karya itu dan jika bernasib baik, kuantiti jualan buku juga akan naik - sedikit. Saya faham. Masalahnya, saya adalah saya. Memang saya dibesarkan begitu. Saya membawa pemahaman yang berlainan. Mungkin juga mula menulis pada usia lewat membentuk pemikiran saya sebegitu rupa…atau mungkin saja saya anak Sasterawan Negara dan merasai mustahil ada dua Sasterawan Negara dalam satu keluarga! (Tapi, maaf, saya berseloroh. Itu tidak mustahil kerana itu bukan hadiah, itu anugerah.)

Dalam kehidupan ini, terkadang tidak mampu saya menepis perasaan kecewa menjadi anak seorang Sasterawan Negara. Setiap karya yang saya lahirkan akan dibuat perbandingan. Malah saya sendiri terkadang tidak mampu menepis diri dan terperangkap dengan membuat perbandingan yang sama dan kerana itulah juga sehingga kini banyak karya-karya saya yang saya pendamkan dalam komputer saja. Sedangkan baru ditemuramah sudah bising ("Maklumlah anak SN, sebab itu dapat publisiti," kata mereka.) apalagi jika ada karya yang diterbitkan.

Saya seorang yang sentiasa positif.

Akhir-akhir ini saya merasai bahawa saya sudah bersedia. Saya sudah tiba di persimpangan dan saya pasti jalan sastera Melayu itu akan saya susuri.

Saya tidak akan menulis untuk menang dan saya tidak akan menerima hadiah andai menang - pendirian saya tentang itu mono - TIDAK.

Persoalannya kini, siapa pula yang hendak terbitkannya? Dan, bila bercakap tentang terbitkan karya sendiri ini saya terdengar pula, "Masuk bakul angkat sendiri…" Tapi, anda fikir saya peduli apa yang akan mereka fikirkan itu kini?

Saya hanya mahu menulis…

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

*Terima kasih pada anugerahNYA, isteri yang dipaksa memahami, anak yang sering memancarkan inspirasi, ibu dan bapa yang telah menatah satu tahap yang tinggi, sahabat-sahabat (penulis) yang menasihati dan merangsang, sahabat-sahabat yang setia melayani dan dunia sastera Melayu yang lesu tetapi aneh hebat mencabar diri.

Bukit Gantang

August 27th, 2006 by helmysamad

Sedang duduk santai menonton F1, fikiran saya melayang dan mencecah-cecah masa-masa yang silam.

Saya teringat kali pertama memandu ke Kangar. Jalan itu seakan tiada penghujungnya! Rasanya terlalu lama dan berkali terpaksa berhenti merehatkan otot-otot yang kelesuan. Dan kerana itu, masa perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kangar mengambil masa lebih kurang 7 hingga 8 jam.

Fikiran saya terlayang pula pada perjalanan yang baru saya tempuhi tadi. Lebuhraya agak sibuk. Mungkin kerana esoknya sekolah bermula dan seperti biasa semua mahu kembali ke destinasi masing-masing. Bertolak dari Kangar jam 11.55 pagi. Berhenti rehat 30 minit di Bukit Gantang ("Pit-Stop" pilihan) dan tiba di Kuala Lumpur 4.30 petang.

Empat jam tigapuluh lima minit! Itu bukan satu rekod kerana waktu tsunami melanda, saya pernah memandu dari Kuala Lumpur ke Kangar dalam masa empat jam (dengan mengekori "outrider" polis dari Rawang hingga Juru). Namun, kali ini lain sikit. Dengan lebuhraya agak sesak dan cuaca yang kerap bertukar, perjalanan kali ini sebenarnya mengambil masa empat jam lima minit selepas ditolak masa berhenti rehat.

Saya tergeleng. Lebih 550km… Saya juga tahu ada seorang rakan yang mengambil masa tiga setengah jam untuk perjalanan yang sama. Saya tergeleng lagi…

Saya terbayang, dalam kelajuan 160km tiba-tiba tayar depan meletup…

Saya terbayang isteri di sebelah, saya tergeleng tidak mampu memikirkan tentangnya.

Saya terfikir tentang anak…

Ingatan mencecah pada ibu, bapa…keluarga…dan saya perlu mengekang diri…

Saya tahu ajal datang dalam pelbagai bentuk dan cara, tapi kemalangan dan penyakit (yang berkait dengan nikotin dan tar) adalah bentuk dan cara yang mahu saya elakkan.

Saya perlu mengekang diri dari perkara-perkara bodoh seperti ini…saya perlu mengekang…

*Bila sudah menjadi kebiasaan, kita bisa saja "take things for granted".

**Maaf, saya tiada ide tajuk…